SELANGOR: Skuad petanque berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen Sarawak menerusi gandingan Watziq Zulfiqrie Dahlan dan Muhamad Irfan Syazani Fazarullah dalam kategori beregu lelaki.
Aksi cemerlang mereka mengatasi pasangan dari Johor, Mohammad Afi Najmi Mohamad dan Muhammad Aidil Akmal Yahya dengan kemenangan (13-7).

Aksi cukup sengit diharungi kedua-dua atlet terbabit pada perlawanan akhir tersebut.
Ketinggalan (5-0) di tangan pihak lawan pada awal saingan.
Namun, berjaya bangkit sebelum memuktamad kedudukan (13-7) hingga ke akhir perlawanan.
“Syabas dan tahniah kepada kedua-dua mereka kerana berjaya meraih pingat emas untuk Sarawak.
“Aksi yang cukup hebat diperaga sepanjang berlangsung perlawanan akhir tadi,” ujar Presiden Persatuan Boules Negeri Sarawak, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Wan Abdillah, ramai yang tidak menjangka gandingan dari Sarawak itu dapat menumpaskan pemain dari skuad remaja kebangsaan itu.



