BETONG: Jaguh berbasikal wanita Zon Barat, Nur Ain Ramadhania Abdullah, 16 terus mencipta sensasi pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Anak jati kelahiran Kampung Melango Baru, Saratok itu berjaya mengungguli perlumbaan untuk acara Kriterium Wanita (40km) yang berakhir sebentar tadi.
Mengatasi dua pencabarnya yang mewakili Zon Utara iaitu Nurfara Ain Nabiela Abdullah selaku pemenang pingat perak dan Naina Adriana Idris selaku pemenang pingat gangsa.
Ia merupakan pingat emas kelima buat anak didik Ahmad Joyo Mohd. Sanusi (ketua jurulatih) selepas tiga hari berlangsungnya perlumbaan.
“Memang gembira dan tidak menjangka dapat beroleh satu lagi pingat emas dalam keadaan tekanan cukup hebat dilalui sepanjang perlumbaan tadi.
“Pingat emas kelima diperoleh ini cukup bermakna bagi diri saya pada temasya kali ini,” ujar Nur Ain kepada Arena Suara Sarawak.
Empat lagi pingat emas diperoleh Nur Ain Ramadhania pada perlumbaan dua hari lepas menerusi Perlumbaan Lebuh Raya (106km), Perlumbaan Lebuh Raya Berpasukan (106km), Ujian Masa Individu (TTT 27km) dan Ujian Masa Berpasukan (TTT 54km).

