LUBOK ANTU: Acara sepak takraw mewarnai suasana hari pertama termasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.

Kategori beregu (dua pemain) lelaki dan wanita bermula pagi tadi, menyaksikan enam perlawanan dilangsungkan di Dewan Sukan, Kompleks Sukan Lubok Antu.
Penampilan pasukan wanita Zon Barat —Sri Aman, Betong, Sarikei mencuri tumpuan apabila mudah mengatasi lawan masing-masing pada aksi pertama peringkat kumpulan.
Skuad wanita Zon Barat A menang bergaya 2-0 (15-6, 15-3) ke atas Zon Utara A (Bintulu, Miri, Limbang).
Disusuli kemenangan 2-0 (15-5, 15-3) dicatat oleh Zon Barat B ke atas Zon Utara B.
Ketua jurulatih Zon Barat, Mohd. Rushdi Sani nyata gembira dengan prestasi hebat dipamer pemainnya.
“Diharap pemain dapat mengekalkan momentum cemerlang tersebut untuk aksi seterusnya esok (Khamis),” ujar Rushdi kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam pada itu, beberapa perlawanan kategori lelaki peringkat kumpulan membabitkan zon berbeza berlangsung pagi tadi dan menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan pilihan.
Pasukan Zon Tengah A menang tipis (2-1) ke atas Zon Barat B, Zon Utara B pula mencatat kemenangan (2-0) ke atas Selatan B.
Pasukan Zon Selatan A berjaya menumpaskan Zon Tengah B (2-0) dan kemenangan (2-0) Zon Barat A ke atas Utara A.



