BETONG: Masyarakat setempat diseru hadir menyaksikan serta menyokong kontinjen masing-masing sepanjang berlangsung temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang bermula secara rasminya esok hingga 8 Februari nanti.
Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas memberitahu, kehadiran komuniti setempat di semua gelanggang pertandingan bukan sahaja dapat memeriahkan suasana temasya dwitahunan terbabit, malah berupaya mencetus semangat kepada atlet yang terlibat.
“Kehadiran anda di semua lokasi pertandingan mampu memberi semangat kepada atlet terlibat,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKSAR IV 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong petang tadi
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Gerald Rentap Jabu.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen ke semua lokasi pertandingan.
“Kehadiran atlet dari seluruh pelosok negeri bukan sahaja mampu memeriahkan temasya kali ini, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi teras kekuatan Sarawak.
“Walaupun hadir sebagai pesaing di gelanggang, kita semua disatukan dengan matlamat yang sama, iaitu untuk mengangkat martabat sukan di Sarawak serta membentuk atlet yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing,” tambah beliau.
SUKSAR IV 2026 berlangsung dari 5 hingga 8 Februari ini dengan Bahagian Sri Aman dan Betong sebagai tuan rumah, selain diadakan di Lubok Antu.
Pasukan terlibat ialah Zon Selatan (Kuching, Kota Samarahan, Serian), Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei), Zon Tengah (Mukah, Kapit, Sibu) dan Zon Utara (Bintulu, Miri, Limbang).
Sebelas acara sukan dipertandingkan kali ini. Lima acara sukan diadakan di Sri Aman iaitu softball, tinju, bola keranjang, pingpong dan petanque.
Manakala, empat acara sukan diadakan di Betong seperti berbasikal, tae kwan do, angkat berat dan bola jaring.
Berbanding, dua acara sukan iaitu karate dan sepak takraw diadakan di Lubok Antu.
Temasya kali ini juga melibatkan seramai 1,093 peserta, termasuk atlet, pegawai, kakitangan sokongan serta para sukarelawan.



