KUCHING: Pemain yang mewakili pasukan masing-masing pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 diseru memanfaatkan peluang untuk memperlihatkan bakat sebenar mereka sepanjang berlangsung acara sepak takraw.
Pada masa sama, mereka turut digalakkan menggunakan kesempatan beraksi dalam temasya itu untuk meningkatkan prestasi diri.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi menegaskan, kejohanan tersebut merupakan landasan terbaik bagi pemain memperlihatkan bakat sebenar mereka.
“Seperti diketahui, empat pasukan dari zon berbeza akan bersaing dalam kejohanan kali ini.
“Sudah tentu mereka membariskan pemain muda berbakat. Harapan kita agar pemain muda yang terlibat dapat menunjukkan bakat sebenar mereka,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata, tidak mustahil ada dalam kalangan pemain dari kejohanan ini dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Dengan kata lain, mereka boleh diadaptasi untuk membentuk skuad pelapis Sarawak selepas ini.
“Pihak kami akan memantau kelibat pemain dari pasukan bertanding sepanjang kejohanan berlangsung bagi mengenal pasti pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.
Acara sepak takraw akan diadakan di Lubuk Antu, Sri Aman dari 4 hingga 8 Februari dan mempertandingkan tiga kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah bergu (dua orang) lelaki dan wanita, regu (tiga orang) lelaki dan wanita serta kuadran (empat orang) lelaki dan wanita.
Empat pasukan yang bertanding ialah Zon Selatan (Kuching, Kota Samarahan, Serian), Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei), Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit) dan Zon Utara (Bintulu, Miri, Limbang).
Temasya SUKSAR IV 2026 menyaksikan 11 acara sukan dipertandingkan. Selain sepak takraw dan taekwondo yang akan berlangsung di Lubuk Antu, lima lagi acara iaitu ping pong, bola keranjang, karate, softbol dan tinju akan berlangsung di Sri Aman.
Manakala, empat lagi acara sukan iaitu angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo akan berlangsung di Betong.



