KUCHING: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, petang tadi.
Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat mendarat pada jam 4 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi tujuan lawatan rasmi selama empat hari ke di bandar raya ini.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan diiringi oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta isteri, Datin Amar Enn Ong Siok Ean.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Banges Munga.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri berkenan meluangkan masa berbual bersama Premier dan barisan kenamaan yang lain sebelum berangkat ke tempat bersemayam di Hotel Sheraton Kuching.
Baginda berdua dijadualkan berkenan mengunjungi Pameran Sarawakiana ‘Tradisi Kita Khazanah Kita’ di Pustaka Negeri Sarawak, Muzium Budaya Sarawak (BCM), Majlis Penangguhan Sarawak Regatta Kuching Waterfront Festival dan menikmati Night Cruise di Tebingan Kuching, esok hari.
Pada masa sama, baginda berdua juga dijadualkan akan berangkat melawat ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Kubu Margherita, Juma’ani Pavilion sebelum berangkat hadir ke Majlis Santapan Negeri pada sebelah malam.
Sementara itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijangka akan berangkat esok hari bagi menemani baginda berdua dalam keberangkatan lawatan di Kuching buat kali pertama ini.



