KUCHING: Kejayaan sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak hari ini berakar daripada pengorbanan dan komitmen generasi terdahulu yang memperjuangkan pembangunan pendidikan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kejayaan itu turut didorong kepimpinan sekolah, pengetua, guru serta masyarakat Cina yang bersama-sama membina asas pendidikan berkenaan.
Katanya, sumbangan guru tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik pelajar semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keupayaan membentuk generasi berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
“Justeru, sumbangan guru tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik pelajar semata-mata.
“Sebaliknya, turut dilihat melalui keupayaan mereka membentuk generasi yang mempunyai nilai murni dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Anugerah Guru Cemerlang Adenan di SMK Chung Hua No. 1, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan pembangunan Sarawak memerlukan individu yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan bukan sekadar cemerlang dalam bidang profesional.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) turut membawa cabaran baharu kepada sektor pendidikan.
Katanya, situasi itu menuntut guru dan pelajar mempelajari serta menguasai penggunaan teknologi terkini.
“Sudah tentu AI tidak mampu menggantikan peranan guru dalam menerapkan nilai kehidupan dan membentuk pelajar menjadi insan yang bertanggungjawab.
“Teknologi ini hanya membantu memberikan pengetahuan serta jawapan, namun tidak dapat menggantikan pendidikan nilai dan pembentukan sahsiah yang perlu diterapkan oleh guru,” katanya.

