Sumbangan semarak Ramadan

BINTANGOR: Sebanyak RM55,500 disumbangkan kepada 15 masjid dan tujuh buah surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol dalam lawatan kerja beliau hari ini.

Penyerahan sumbangan dibuat di Surau Darul Ikhsan, Bintangor dan Masjid Al Amin, Kampung Semop.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop berkata, setiap masjid dan surau masing-masing menerima sebanyak RM3,000 dan RM1,500.

“Saya berharap Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk mengimarahkan lagi sambutan Ramadan.

ABDULLAH mengabadikan kenangan bersama penerima di Surau Darul Ihsan Bintangor

“Selain aktiviti keagamaan dalam masjid dan surau, saya juga mencadangkan penganjuran aktiviti luar seperti gotong-royong yang mampu merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menyumbangkan barangan berupa sistem PA untuk Masjid Kampung Tanjung Bundung, peralatan rondaan enam unit lampu suluh, empat Walkie Talkie dan dua unit khemah kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Bundong.

Tidak dilupakan RM3,500 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Semop dan 20 unit alat pemadam api kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Rumah Anggok.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab yang hadir di Masjid Al- Amin Kampung Semop menghulurkan sumbangan sebanyak RM32,000 kepada 13 masjid serta enam surau di Pulau Bruit yang masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.

Sementara itu Jabatan Agama Islam (JAIS) Daro turut menyumbang RM19,000 kepada 13 masjid dan enam surau di Pulau Bruit.

Hadir sama Ketua- Ketua Masyarakat, Pegawai JAIS Daerah Daro dan semua Jawatankuasa Masjid dan Surau.

Sempat meluangkan masa bersama penduduk sambil menyampaikan pesanan.

 

Menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima.

Suara Sarawak