Sumbangan tidak memilih ideologi politik

SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong terus memainkan peranannya membantu mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Kira-kira 1,000 penerima bantuan tersebut hadir ke Pusat Khidmat PDP Bahagian Dudong yang terletak di Jalan Aman.

Pengerusi PDP Bahagian Dudong Kaunselor Teo Boon Siew berkata, sumbangan yang diagihkan itu adalah sumbangan ikhlas daripada Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.

“Bantuan tersebut adalah khas kepada mereka yang kurang bernasib baik yang kebanyakannya tinggal di bandar ini.

“Tanpa memilih ideologi politik asalkan mereka layak kami terus bantu,” katanya kepada pemberita.

Boon Siew yang juga Naib Presiden Kanan PDP memberitahu, apa-apa usaha yang parti jalankan selama ini untuk membantu golongan yang terkesan selama ini bukanlah satu ‘bentuk pelaburan’ mahupun gimik politik untuk tujuan tertentu.

“Ini soal kemanusiaan bukan politik. Kita sebagai sebuah parti pemerintah di bawah GPS seharusnya mengutamakan rakyat.

“Saya tahu segelintir pihak tertentu yang hebat di laman sosial mengkritik kerja-kerja murni kita selama ini untuk menghentikan dakwaan yang tidak baik itu,” tegasnya lagi.

Boon Siew berkata lagi, sudah menjadi tanggungawab parti untuk berkhidmat kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

“Itu sebab parti ada pusat khidmatnya. Inilah tujuannya iaitu memberi khidmat kepada rakyat.

“Kita ikhlas untuk membantu dalam usaha menggerakkan peranan parti agar ia relevan dengan platform kita selama ini iaitu berteraskan kepada keperluan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, bantuan tersebut telah diserahkan sendiri oleh Boon Siew bagi mewakili Tiong kepada para penerimanya.

“Penerimanya terdiri daripada ibu tunggal, bapa tunggal dan keluarga miskin dari sekitar bandar Sibu.

“Ada antara mereka disyorkan oleh guru besar/pengetua/Lembaga Pengurusan Sekolah untuk menerima bantuan ini,” tambahnya.