ARTIKEL

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Kuching malam tadi.

Sumbangan Tun Wan Junaidi perkukuh MA63 wajar dikenang – Premier

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sumbangan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam memperkukuh asas perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan sebagai antara warisan penting dalam perjalanan lapan dekad kehidupan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang banyak diabdikan kepada perkhidmatan negara dan negeri ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tun Wan Junaidi memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63.

Menurutnya, pindaan yang melibatkan antaranya Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161A itu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Disember 2021 dengan majoriti lebih dua pertiga sebelum berkuat kuasa sepenuhnya pada 11 Februari 2022.

“Bagi Sarawak, ia bukan sekadar pindaan teknikal kepada peruntukan Perlembagaan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini malam tadi.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa perjuangan MA63 bukan usaha seorang individu kerana ia juga melibatkan Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, Parlimen serta ramai pemimpin dan pegawai sepanjang beberapa dekad.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan tersebut, sumbangan Tun dalam memperkukuh asas perlembagaan berkaitan MA63 wajar kita kenang sebagai sebahagian daripada sejarah institusi Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, usia 80 tahun bukan sekadar ukuran masa, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang yang sarat dengan pengalaman, pengorbanan, tanggungjawab, khidmat dan kebijaksanaan.

Jelasnya, sepanjang lapan dekad, Tun Wan Junaidi melalui pelbagai fasa kehidupan yang merangkumi perkhidmatan keselamatan, bidang undang-undang, politik dan pentadbiran negara sebelum memikul amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Apabila kita melihat keseluruhan perjalanan tersebut, satu perkara menjadi benang penghubung, iaitu kehidupan yang banyak diabdikan kepada perkhidmatan.

“Sebab itu kita bukan sekadar meraikan hari lahir, tetapi turut mengenang sumbangan, nilai dan pengalaman yang boleh menjadi teladan kepada generasi selepas kita,” katanya.

Abang Johari berkata, tanggungjawab Tun Wan Junaidi hari ini berbeza kerana sebagai Yang di-Pertua Negeri, beliau ialah Ketua Negeri serta lambang kedaulatan, kestabilan dan perpaduan Sarawak.

Ujarnya, di sebalik institusi Yang di-Pertua Negeri, Tun Wan Junaidi juga seorang suami, bapa, datuk, saudara dan sahabat.

“Sarawak merupakan sebuah keluarga besar yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang yang tidak semestinya mempunyai pandangan sama untuk kekal bersatu.

“Dalam sebuah keluarga, seorang bapa mendengar, membimbing dan mahu melihat setiap anak mempunyai peluang untuk maju.

“Saya melihat semangat yang sama dalam peranan Tun sebagai Ketua Negeri, berada di atas perbezaan yang ada dan menaungi seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Katanya, kehidupan seorang pemimpin tidak hanya berkisar pada majlis, mesyuarat dan tanggungjawab rasmi, sebaliknya turut dibentuk oleh hubungan kekeluargaan yang memberikan kekuatan sepanjang perjalanan hidup.

Beliau turut menghargai peranan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang sentiasa berada di sisi Tun Wan Junaidi serta memberikan sokongan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Negeri.

“Setiap insan yang memikul tanggungjawab besar juga mendapat kekuatan daripada insan yang paling dekat dengannya.

“Pada usia 80 tahun, ukuran sebuah kehidupan bukan hanya pada jawatan yang pernah disandang atau pencapaian yang diraih. Ia juga terletak pada keluarga, sahabat, hubungan yang dibina dan kehidupan manusia yang pernah disentuh sepanjang perjalanan tersebut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU