KUCHING: Kekayaan sumber asli bukan jaminan sesebuah negara dapat keluar daripada kemiskinan, sebaliknya memerlukan pengurusan berasaskan ilmu dan keadilan sebagai penentu utama kemakmuran.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi contoh negara Afrika seperti Sudan dan Nigeria yang mempunyai minyak dan gas tetapi masih berdepan kemiskinan.
Namun, katanya, meskipun mempunyai sumber asli yang banyak, ia masih memerlukan pengurusan sumber yang berpandukan kepada pengetahuan dan keadilan.
“Kalau semua rasa mereka sepadan, tiada masalah. Kalau semua rasa mereka tidak sepadan, ada masalah.
“Jadi harus ada keadilan dalam negara. Sebab itu dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita mengambil kira semua orang,” katanya ketika sidang media sempena Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, kepimpinan yang berteraskan perkongsian hasil dan pembangunan inklusif menjadi kunci kepada masa depan negeri yang lebih terjamin.
Beliau berkata, pendekatan perkongsian dalam pembangunan perlu diterapkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
“Dalam GPS, kita berkongsi. Kita berkongsi untuk membangunkan negeri kita. Jika kita mempunyai kepimpinan seperti ini, masa depan kita terjamin dan semua orang boleh mendapat manfaat,” katanya.
Menurut beliau, aspek paling penting adalah memastikan masa depan generasi muda tidak terabai, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Katanya, situasi di mana golongan muda diberikan bantuan kewangan tetapi gagal memperoleh pekerjaan perlu dielakkan kerana ia boleh membawa kepada penghijrahan tenaga kerja ke luar negara.
“Jika anak-anak kita diberi wang tetapi tidak dapat bekerja, bayangkan? Jadi kita perlu menaik taraf ekonomi selaras dengan kemahiran yang mereka miliki. Jika tidak, mereka akan berpindah ke luar negara.
“Dan ekonomi kita perlu menjana jutaan dolar berbanding negara membangun lain. Kerana itu saya berpandangan ekonomi masa kini bergantung kepada ilmu pengetahuan,” ujarnya.

