Sungai bersih, pertanian maju

SRI AMAN: Program Sambutan Hari Air Sedunia 2021 dilaksanakan untuk mengajak masyarakat agar mempunyai kesedaran tentang kepentingan menjaga sungai.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti yang juga Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia dapat dilaksanakan dengan mengambil bahagian membantu memelihara persekitaran sungai yang bersih.

“Kita mungkin tidak melakukan pembersihan sungai ini secara berterusan atau langsung tetapi kita boleh menyumbang dengan tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai.

“Selain itu, kita juga perlu memikirkan terdapat negara di dunia ini yang sering menghadapi krisis air seperti benua Afrika,” katanya ketika berucap merasmikan program Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Bahagian Sri Aman, di Balai Raya Kampung Sabu, Sri Aman pada Sabtu.

Tambah Harden, keadaan tanah yang kering menyebabkan aktiviti pertanian sukar dibangunkan yang secara tidak langsung taraf sosioekonomi tempatan akan menjadi rendah dan menjurus kepada kemiskinan.

Sehubungan itu menurutnya, Sarawak yang beriklim Khatulistiwa iaitu lebihan hujan sepanjang tahun menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar kerana mengusahakan ladang dan ternakan secara besar-besaran.

“Keadaan ini dibantu kuantiti air yang mencukupi dan membolehkan kita memanfaatkan sumber air dengan berkesan.

“Dari perspektif lain, kegunaan air dan sungai sedia ada memberi manfaat kepada kehidupan kerana kita mendapat sumber air bersih untuk dibekalkan kepada penduduk melalui loji air yang diwujudkan di setiap bahagian,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan perkara tersebut juga dapat menjana bekalan elektrik dengan pembinaan empangan hidro seperti di Batang Ai, Bakun, Murum dan Batang Balleh.

“Empangan ini yang menggunakan sumber air sungai menghasilkan tenaga elektrik dan dibekalkan kepada rakyat atau kegunaan negara jiran yang boleh menjana pendapatan negeri.

“Banyak usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan keupayaan dalam pengurusan air.

“Langkah ini diharap dapat menggerakkan inisiatif dalam pemeliharaan kawasan tadahan dan pengurusan sumber air.  Antara pendekatan yang sedang digunakan adalah dengan membangunkan sistem keseimbangan air melalui Program Pembangunan Keseimbangan Aier bagi Pengurusan Sumber Air Negara.

Di Sarawak, kajian ini sedang dijalankan untuk lembangan Sungai Similajau di Bintulu. Selain itu, pengurusan lembangan sungai secara bersepadu juga merupakan langkah penting untuk meningkatkan keupayaan dalam pengurusan air.

Beliau memaklumkan, Sri Aman mempunyai lebih 50 sungai utama dan anak sungai dengan panjang melebihi 500 kilometer.

“Ini merupakan cabaran besar khususnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memastikan kesemua sungaisungai ini dapat berfungsi dengan efisien,” tambahnya lagi

Suara Sarawak