BINTANGOR: Perlumbaan bot berkuasa tinggi bakal menjadi antara tarikan utama Pesta Meradong 2026 bermula 24 Ogos ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kelainan yang diketengahkan pada penganjuran tahun ini dijangka mampu meningkatkan lagi kemeriahan pesta selain menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
Katanya, acara perlumbaan bot berkenaan bukan sahaja menawarkan hiburan kepada pengunjung, malah berpotensi menjadi daya tarikan baharu yang menghidupkan suasana pesta.
“Penganjuran perlumbaan bot berkuasa tinggi setiap tahun sememangnya menjadi antara acara yang dinanti-nantikan kerana mampu menarik orang ramai untuk hadir menyaksikan pertandingan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jelajah Pro-Dr 2026 di Sekolah Menengah Kai Chung, di sini, hari ini.
Ding berkata, operasi gerai jualan akan dimulakan pada 24 Ogos, manakala upacara perasmian rasmi Pesta Meradong 2026 dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos.
Beliau turut menyeru penduduk Meradong dan kawasan berhampiran supaya mengambil peluang hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan serta menyokong program yang dianjurkan sepanjang pesta berlangsung.
“Dengan adanya pelbagai pengisian termasuk perlumbaan bot berkuasa tinggi, saya berharap Pesta Meradong tahun ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Sebelum ini, pesta berkenaan dikenali sebagai Pesta Limau dan Bintangor sebelum melalui proses penjenamaan semula kepada Pesta Meradong, yang dilihat mampu memperkukuh usaha mempromosikan Bintangor sebagai destinasi agro-pelancongan selain menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat dan menjana peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.




