ARTIKEL

Kho Teck Wan

SUPP akan pertahankan kerusi tradisi Bawang Assan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan berusaha bagi mengekalkan semula kerusi tradisi Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Setiausaha Politik Wanita SUPP, Kho Teck Wan berkata demikian walaupun penyandangnya merupakan bekas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dibubarkan baru-baru ini dan kini menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Wong Soon Koh.

“PSB mungkin telah dibubarkan dan ahli-ahlinya juga telah menyertai PDP, namun kami (SUPP) bersungguh-sungguh menentang kenyataan tidak wajar yang pernah dikeluarkan oleh PSB terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan masih segar dalam ingatan.

“Orang ramai perlu faham bahawa peringkat akar umbi kami akan mengambil masa untuk menerima hakikat bahawa pembangkang yang mereka lawan sebelum ini, kini sudah menjadi penyokong GPS.

“Walaupun bekas wakil rakyat Bawang Assan itu kini menjadi ahli PDP, SUPP pastinya akan berusaha untuk mempertahankan kerusi tradisinya pada PRN akan datang,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SUPP dan satu lagi parti komponen GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mempunyai sejarah bekerjasama di kawasan Bawang Assan bagi menentang pesaing politik lain, termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PSB.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas semangat setia kawan dan sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh Pengerusi PBB Cawangan Bawang Assan, Romeo Tegong atas pendiriannya yang menyokong dan akan terus bekerjasama dengan SUPP pada PRN akan datang.

“Bawang Assan kekurangan dana pembangunan selepas jatuh ke tangan pembangkang, namun pembangunan berterusan adalah perlu bagi mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat disebabkan oleh nilai mata wang yang lemah.

“Justeru, atas semangat GPS, kita menyokong pendirian PBB Bawang Assan yang menyeru kepada semua belia dan wanita untuk bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada calon GPS pada PRN nanti supaya kita dapat memperjuangkan pembangunan bagi mengubah nasib rakyat,” ujar Kho.

BERITA LAIN

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri