KUCHING: Satu laporan polis dibuat oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) susulan hantaran berunsur fitnah yang disasarkan terhadap Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng berkata, hantaran berkenaan merupakan penyebaran kenyataan palsu berunsur fitnah berat, berniat jahat serta bertujuan menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Dr Sim.
Sehubungan itu, laporan dibuat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap dua akaun terbabit, iaitu BB Channel’s Big Brother dan Ken Lim Ken Lim.
“Kita mahu hantaran tersebut diturunkan.
Seterusnya, kami menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta mengesan pemilik kedua-dua akaun ini,” katanya ketika ditemui media di Balai Polis Satok hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kandungan yang dimuat naik pada 17 April 2026 (Jumaat) itu menggambarkan seolah-olah Dr Sim berkawan dengan sekumpulan gangster.
“Kami tidak mengetahui siapa yang memuat naik hantaran ini, namun mereka memuat naik kenyataan yang mengaitkan Dr Sim dengan kumpulan tersebut.
Mereka mempunyai niat jahat untuk memfitnah pemimpin tertinggi di kawasan ini dan kami berhak mempertahankan nama baik Dr Sim.
Saya berharap melalui tindakan ini, kita dapat memberi pengajaran kepada semua bahawa penyalahgunaan media sosial tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.
Dalam pada itu, individu terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan (fitnah jenayah) sekiranya didapati bersalah.
Selain itu, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan penyalahgunaan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan jahat dan palsu.



