SARIKEI: Golongan muda kini menjadi taruhan utama dalam memastikan kesinambungan perjuangan serta pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terus mempergiat usaha menarik penyertaan golongan belia yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang idea, tenaga dan pendekatan baharu dalam memastikan perjuangan parti kekal relevan dengan keperluan semasa.
“Penyertaan golongan muda bukan sahaja menjamin kesinambungan parti, malah dapat memperkukuh hubungan antara SUPP dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lebih segar.
“Ia juga memastikan parti terus memahami aspirasi serta cabaran yang dihadapi generasi masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok di Pusat Khidmat DUN Repok, hari ini.
Menurutnya, SUPP sentiasa membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai parti, sekali gus membentuk kepimpinan yang berwibawa dan bersedia memikul tanggungjawab.
Tiong Sii yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, SUPP akan terus memainkan peranan sebagai parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memberikan komitmen agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
Dalam majlis sama, seramai 225 ahli baharu menerima kad keahlian SUPP sebagai simbol penyertaan rasmi mereka dalam parti.
Jumlah berkenaan mencerminkan peningkatan sokongan ke atas perjuangan parti di kawasan berkenaan.
Terdahulu, Tiong Sii menyempurnakan penyerahan cek MRP kepada pelbagai penerima membabitkan institusi pendidikan dan pertubuhan komuniti di kawasan Parlimen Sarikei serta DUN Repok.
Sebanyak 79 sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus Sekolah menerima bantuan berkenaan, selain 58 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Repok, Meradong dan Sarikei.
Bantuan itu bertujuan menyokong pelaksanaan pelbagai program pendidikan, kemasyarakatan dan aktiviti komuniti di kawasan terbabit.



