ENGKILILI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) wajar diberi peluang mencalonkan wakilnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selaras dengan persefahaman pembahagian kerusi dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Jawatankuasa Cawangan SUPP Engkilili, Tr. Dabong Baok berkata, beliau menyokong pendirian Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang mengisytiharkan kerusi berkenaan sebagai kerusi Bumiputera milik SUPP.
Status kerusi itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh kepimpinan GPS ketika menentukan calon, mengambil kira sejarah penyandang yang pernah bersama SUPP sebelum menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan kemudian Parti Demokratik Progresif (PDP) selepas pembubaran PSB.
Tr. Dabong berkata, SUPP mempunyai beberapa calon berpotensi, termasuk bekas Ahli Parlimen, Jugah Muyang, yang berpengalaman, mempunyai hubungan rapat bersama penduduk dan mudah didekati masyarakat.
Beliau berkata, pemilihan calon tidak seharusnya berasaskan publisiti semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira rekod perkhidmatan, hubungan dengan rakyat, pemahaman terhadap isu setempat dan komitmen terhadap pembangunan kawasan.
Beliau turut menekankan kepentingan konsistensi politik dan kerjasama bersama kerajaan bagi memastikan kebajikan penduduk Engkilili terus terbela, khususnya dalam aspek pembangunan, penambahbaikan perkhidmatan awam dan penyaluran bantuan kepada masyarakat.
Menurutnya, perubahan parti seseorang wakil rakyat boleh menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan perwakilan, justeru kepentingan penduduk perlu diutamakan tanpa mengira perbezaan politik.
“Rakyat berhak mendapat wakil yang memahami masalah mereka, sentiasa dekat dengan masyarakat dan berusaha secara konsisten untuk meningkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.
Beliau berharap kepimpinan SUPP dan GPS mengambil kira status kerusi DUN N.33 Engkilili, potensi calon parti itu serta aspirasi penduduk sebelum menentukan calon bagi PRN akan datang.
Beliau berkata demikian pada majlis di Rumah Kennedy, Langkang Ulu, Engkilili, baru-baru ini, yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta beberapa wakil rakyat.



