ARTIKEL

PALSU…Surat palsu yang menggunakan nama tentera tular, baru-baru ini.

Surat Tular Permohonan Jamuan Merdeka Guna Nama Tentera Disahkan Palsu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Satu surat permohonan peruntukan kewangan bagi Jamuan Hari Kemerdekaan 2025 di Sarikei yang tular baru-baru ini disahkan palsu dan tiada kaitan dengan Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd).

Surat berkenaan, yang kononnya dihantar oleh seorang anggota tentera bernama Staf Sarjan Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dari Rejimen 510 Askar Wataniah, didakwa meminta sumbangan kewangan untuk menganjurkan jamuan makan di Dewan Suarah Sarikei.

Bagaimanapun, pihak 9 Bgd mengesahkan mereka menerima empat aduan mengenai surat tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penerima yang hampir terpedaya.

“Markas tidak pernah mengeluarkan sebarang surat permohonan sebegini. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” tegas pihak 9 Bgd dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pihak 9 Bgd menyeru sesiapa yang menerima surat berkenaan supaya segera menghubungi markas dan membuat laporan polis bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Kes seumpama ini bukan sahaja cubaan memperdaya masyarakat, malah boleh mencemarkan nama baik Tentera Darat Malaysia yang selama ini diyakini rakyat.

Dalam pada itu, pihak markas turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah percaya dengan surat rasmi yang mencurigakan walaupun menggunakan kepala surat dan nama agensi pertahanan.

Markas 9 Bgd memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis bagi memastikan individu di sebalik surat palsu itu dibawa ke muka pengadilan.

Kes penipuan dengan modus operandi menggunakan dokumen rasmi kerajaan pernah berlaku sebelum ini, dan ia sering disasarkan kepada pihak yang ingin membantu penganjuran program komuniti atau kebajikan.

Pihak polis turut berkali-kali memberi amaran tentang peningkatan kes penipuan, terutamanya melibatkan dokumen palsu, kerana ia dilakukan dengan licik dan meyakinkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU