KUCHING: Susulan limpahan jemaah di Masjid At-Taqwa Kampung Gita, Surau Mahmudi Jalan Matang telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan bagi mengadakan solat Jumaat bagi menampung keperluan berkenaan.
Pengerusi surau Bolhasan Maarof berkata, Masjid At-Taqwa merupakan satu-satunya yang berstatus masjid dalam mukim tersebut dan boleh mendirikan solat Jumaat.
Justeru katanya, ramai penduduk terpaksa pergi ke Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussein/Taman Rahmat yang terletak agak jauh dari kawasan masing-masing untuk menunaikan kewajipan tersebut.
“Maka, kami sekali lagi buat permohonan dan kali ini diiringi surat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) dengan harapan dapat memperoleh kelulusan tahun hadapan untuk mengadakan solat Jumaat di surau ini. Kami telah memohon sebanyak lima kali sebelum ini.
“Semasa tempoh COVID-19, kami dibenarkan mengadakan solat Jumaat secara sementara di sini. Walaupun dengan penjarakan sosial, keadaannya tetap sesak, penuh hingga ke luar,” katanya ketika ditemui pemberita di surau berkenaan, semalam.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan kepentingan agar surau ini diberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kita lihat dari sudut warga emas dan individu yang uzur, mereka tidak mampu bergerak jauh dan memerlukan tempat solat yang lebih dekat,” jelasnya.
Tambahnya, Surau Mahmudi berada di lokasi strategik iaitu berhampiran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Medan Niaga Satok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman.
Pada masa sama, turut mempunyai kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi, menjadikannya mudah diakses khususnya oleh jemaah warga emas.
“Kita dapat lihat bahawa jumlah jemaah yang menunaikan solat Jumaat semakin meningkat. Oleh itu, kewujudan kemudahan untuk menunaikan kewajipan ini sangat penting,” katanya.
Beliau menambah bahawa surau tersebut kini mampu menampung sekitar 400 jemaah dan berpotensi menampung lebih ramai sekiranya kerja-kerja pengubahsuaian atau naik taraf dilakukan.
“Namun, sebarang perluasan bergantung kepada sama ada kemudahan ini kekal sebagai surau atau dinaik taraf kepada status masjid,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau tersebut, sekali gus menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM50,000 kepada Surau Mahmudi.
Bolhasan mendedahkan bahawa peruntukan sebelum ini telah digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja pengubahsuaian di dalam dan di luar surau, termasuk pembinaan pagar baharu.
“Baki dana tidak mencukupi untuk memasang sejadah, jadi kami maklumkan perkara ini kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri. Syukur atas keprihatinan kerajaan, bantuan dapat disalurkan dengan pantas,” ujarnya.

