KUCHING: Seorang suri rumah mendakwa menjadi mangsa gangguan dan ugutan sekumpulan lelaki yang menuntut beliau melunaskan hutang RM192,000 yang didakwa ditanggung suaminya, meskipun mereka tidak tinggal sebumbung sejak dua tahun lalu.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, wanita berusia 33 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Shirley itu tidak mengetahui asal usul hutang berkenaan, tetapi terus menjadi sasaran individu yang menuntut bayaran.
“Kumpulan lelaki berkenaan didakwa datang ke rumah ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu dengan mendakwa suami wanita itu mempunyai hutang yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.
“Dalam kejadian itu, mereka didakwa meminta mangsa menjual rumah, kenderaan dan apa sahaja aset bagi melunaskan hutang tersebut, sedangkan beliau tidak mengetahui mengenai hutang berkenaan dan kini hanya bergantung kepada ibu bapanya untuk menyara kehidupan bersama anak perempuan berusia sembilan tahun,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut Foo, kumpulan itu pada mulanya meminta RM1,000 daripada mangsa sebelum mengurangkan jumlah tersebut kepada RM500 selepas dimaklumkan bahawa wanita berkenaan tidak mempunyai wang.
“Mangsa mendakwa menyerahkan wang berkenaan kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya dan ahli keluarga, selain kumpulan terbabit turut mengugut akan terus datang ke rumah sehingga hutang itu dijelaskan,” katanya.
“Susulan kejadian itu, Shirley membuat laporan polis pada 9 Julai, tetapi kumpulan sama didakwa datang sekali lagi pada hari yang sama bagi menuntut bayaran.
“Mangsa tidak keluar dari rumah dan segera menghubungi pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut. Pihak polis tiba di lokasi tidak lama kemudian, tetapi kumpulan berkenaan telah beredar,” ujarnya.
Foo berkata, sebarang tuntutan hutang perlu dibuat melalui saluran undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab dan bukannya dengan mengganggu ahli keluarga.
“Jika benar ada hutang, keluarkan surat tuntutan atau ambil tindakan sivil di mahkamah terhadap individu yang berhutang.
“Jangan melakukan gangguan, ugutan atau cubaan memeras ugut ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab terhadap hutang tersebut kerana tindakan sedemikian menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Sementara itu, Shirley berkata beliau menerima panggilan telefon daripada suaminya sebelum kumpulan terbabit tiba di rumah pada 8 Julai lalu.
Katanya, suaminya yang telah menghilangkan diri sejak dua tahun lalu hanya memaklumkan bahawa ada individu akan datang mencarinya tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Menurut Foo, usaha pihak polis untuk menghubungi suami wanita itu masih gagal dan kes berkenaan kini dalam siasatan.


