LARUT: Polis menembak mati seorang lelaki yang dipercayai cuba menyerang anggota polis menggunakan parang dalam kejadian di sebuah pondok dusun buah-buahan di Kampung Klian Gunung Ijok, Batu Kurau dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 39 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian mencederakan dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada 23 Jun lalu. Suspek dikesan bersembunyi di sebuah pondok hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata polis melepaskan satu das tembakan ke arah kaki suspek selepas lelaki itu didakwa cuba menyerang anggota menggunakan parang. Suspek yang cedera disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian, manakala bedah siasat masih dijalankan.
Menurut Mohd Alwi, suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Dua anggota polis yang cedera dalam kejadian pada Jun lalu telah pulih, keluar dari hospital dan kembali bertugas sejak minggu lepas seperti dilapor Bernama.





