ARTIKEL

Industri pos dan kurier RM6.9 bilion diperkukuh melalui pembaharuan kawal selia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHAH ALAM: Kerajaan komited memperkukuh industri pos dan kurier negara melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital. Komitmen itu dinyatakan sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor di sini semalam.

Sambutan bertemakan “Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan” itu dianjurkan oleh Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sambutan itu turut mengiktiraf sumbangan industri bernilai RM6.9 bilion itu kepada ekonomi digital negara.

“Kerajaan terus komited memperkukuh industri pos dan kurier melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, daya saing industri serta keselamatan pengguna,” menurut kenyataan MCMC.

Dari segi kawal selia, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741].

Kerajaan juga merancang memewartakan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan, bagi memperkukuh keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna seiring dengan perkembangan pesat e-dagang.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Inisiatif Anti-Scam Parcel Shield yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC.

Inisiatif itu bertujuan menangani penipuan berkaitan penghantaran bungkusan, menggalakkan perkongsian maklumat antara syarikat kurier dengan platform e-dagang serta menyebarkan amaran penipuan.

MCMC turut menggalakkan Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing).

Melalui pemeteraian memorandum kolaborasi, projek rintis penghantaran peringkat akhir di lokasi terpilih akan menilai potensi pengoptimuman infrastruktur, pengurangan pertindihan operasi dan peningkatan akses perkhidmatan sebelum dipertimbangkan untuk diperluas.

Dalam aspek transformasi digital, kerajaan membangunkan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran.

Selain itu, PAKEJ Map memudahkan pengguna mencari lebih daripada 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara.

HKN2026 turut mengiktiraf sumbangan warga industri menerusi anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat dan program MyCSP Courier Safety Passport, dengan penekanan kepada keselamatan dan kualiti perkhidmatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri