KUCHING: Kes kemalangan maut melibatkan seorang penunggang basikal di Jalan Stutong 1 Mei lalu mencatatkan perkembangan baharu apabila seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat tampil menyerah diri kepada pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching sekitar 12 tengah hari sebelum ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selepas penahanan, lelaki terbabit membawa pihak polis ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
“Dia turut menunjukkan sebuah bengkel di Batu 4, Kuching, tempat penyimpanan sebuah kereta Proton Satria yang dipercayai digunakan dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Alexson, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Beliau memaklumkan, lelaki berusia 19 tahun itu dijangka didakwa di mahkamah hari ini di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 52(2) akta sama kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan.
“Dalam pada itu, Polis Daerah Kuching merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama menyalurkan maklumat sehingga membantu membawa kepada penyerahan diri suspek.
“Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan undang-undang seterusnya diambil,” katanya.


