BINTULU: Seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bintulu pada 10 Disember lalu berjaya ditahan di kawasan rumah setinggan di Jalan Semunok, Betong, semalam.
Penangkapan ini dilakukan menerusi Operasi Khas yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali, memaklumkan bahawa suspek, seorang lelaki warga tempatan, diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan bantuan BSJ IPD Betong pada sekitar jam 2.15 petang.
“Operasi khas ini turut berjaya merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah serta beberapa unit telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Sehubungan itu, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
Superintenden Nixon menjelaskan, jika disabitkan kesalahan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan denda.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana tindakan tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam dan proses siasatan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafizuddin Zaidi, di talian 014-6066404 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.


