MIRI: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) musnah sepenuhnya selepas terbakar dalam kejadian di simpang Miri-Marudi, malam tadi.
Dalam kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.27 malam sebelum jentera tiba di lokasi pada 10.51 malam.
Sehubungan itu, seramai tujuh anggota bomba dikerahkan ke lokasi dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bagi menjalankan operasi berkenaan.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng yang diketuai Komander Operasi, PBK I Ladi Eni, kemudian menjalankan operasi pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi memastikan api dapat dipadam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pemandu seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan terbabit sebelum api merebak dan memusnahkan keseluruhan SUV berkenaan.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.56 malam, manakala operasi keseluruhan ditamatkan kira-kira 11.15 malam selepas lokasi disahkan selamat.
“Kita juga menjalankan pemeriksaan dan penguraian bagi memastikan tiada bara atau punca api yang masih boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, dengan pemandu lelaki terbabit dilaporkan selamat,” jelasnya.

