S’wak berdepan kemungkinan PKPD

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan mengadakan mesyuarat dalam masa sehari dua ini sama ada pelaksanaan PKP Diperketatkan berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri.

Jelasnya, keputusan mesyuarat akan dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mewartakannya dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Kerajaan Sarawak mungkin akan perkenalkan SOP yang lebih ketat, Insya-Allah akan umum Isnin nanti,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan turut bersetuju secara dasar mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

“Keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.

“Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini,” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini.

Katanya, SOP untuk Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 31 Julai ini juga akan dimuktamadkan dan diumumkan Isnin ini.

Susulan beberapa kluster baharu dikesan membabitkan kru kapal, SOP berkaitan kumpulan terbabit akan turut diteliti.

“Polis akan memantau pematuhan SOP ketika sambutan Aidiladha sama seperti pada Aidilfitri lepas. Jika berlaku pelanggaran SOP, tangkapan dan tindakan dibuat terus di lapangan,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak