S’wak perlu pusat pemulihan, rawatan khas untuk wanita

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak perlu meneliti keperluan menubuhkan satu pusat pemulihan atau Pusat Pemulihan dan Rawatan (CCRC) khusus untuk pesalah wanita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehingga kini pesalah wanita di Sarawak yang diperintah mahkamah untuk ditahan di pusat pemulihan perlu dihantar ke CCRC di Bachok, Kelantan.

“Ini kerana Sarawak tidak mempunyai pusat pemulihan khas seumpama itu, manakala pusat untuk pesalah dadah yang dihantar sukarela di Batu 6 di sini menempatkan pesalah wanita dan lelaki dalam satu premis yang sama.

“Pada saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan pusat pemulihan di Kelantan juga terlalu jauh sehingga menyukarkan ahli keluarga pesalah untuk melawat mereka.

“Justeru, saya berharap kerajaan meneliti perkara tersebut kerana ia satu keperluan yang patut ada di negeri ini,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada sidang media di sini, hari ini.

Suara Sarawak