S’wak United FC II buru kemenangan

KETUA jurulatih skuad Sarawak United FC II (SUFC II), Sam Timbe dari Uganda menaruh harapan tinggi agar anak-anak buahnya menumbangkan kelab Real Chukai dalam aksi pusingan pertama kempen Piala FA 2020 di Stadium Sarawak pada jam 8.15 malam Ahad ini (23 Februari). Kemasukan adalah percuma.

“Kami tiada pilihan, jika mahu meneruskan perjuangan kami mesti memenangi perlawanan tersebut.

“Oleh itu, saya berharap para pemain dapat fokus sepenuhnya sepanjang 90 minit saingan dan memanfaatkan peluang,” kata Timbe ketika ditemui Suara Sarawak petang semalam.

Mereka membuat persiapan terakhir di Stadium Negeri petang semalam dalam keadaan hujan lebat.

Timbe tidak begitu fokus terhadap formasi, kerana baginya ia sentiasa berubah dari semasa ke semasa mengikut situasi dan keadaan perlawanan mahupun cuaca.

“Misi kami cuma satu, menang. Kemenangan amat penting untuk meningkatkan semangat rakyat di negeri ini untuk terus menyokong kami dan sentiasa akan ke stadium setiap kali kami bermain,” jelasnya.

Sementara itu, pengurus pasukan SUFC II, Hamzah Brahim berharap agar warga Sarawak turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu.

“Kami telah membuat persiapan sejak sebulan yang lalu di Kuala Lumpur, namun kami memilih Stadium Sarawak untuk aksi pertama, demi para penyokong di negeri ini.

“Ini adalah pasukan yang dibentuk menerusi bekas pemain Sarawak FA dahulu serta beberapa pemain baharu,” katanya.

“Saya berharap para pemain beraksi dengan penuh semangat dan kami tidak mengambil mudah keupayaan lawan,” ujarnya.

SUFC II layak ke Piala FA setelah membelasah pasukan Red Spade FC 6-1 dalam aksi kelayakan di Semenanjung baru-baru ini.

SUFC II akan beraksi dalam Liga M3 musim ini bersama-sama sembilan pasukan iaitu KSR Sains FC, KT Rovers, Melaka United FC, Melawati FC, Ultimate FC, Protap FC, Semarak FC, PIB FC dan Imigresen FC.

Manakala Kumpulan A terdiri daripada Armed Forces FC, Manjung FC, Lankawai City FC, Thai Selangor FC, Ikram Muda FC, NLFC-Mahsa, Harini KS FC, Perlis United FC, Klasiko FC dan KL Rovers.

Suara Sarawak