KUCHING: Swinburne University of Technology Sarawak Campus menjalin kerjasama dengan Melinau EV Sdn Bhd bagi melaksanakan penyelidikan faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan hijau di Sarawak.
Menurut Swinburne, kajian yang berlangsung selama enam bulan bermula Ogos 2026 hingga Januari 2027 itu dijangka menjadi penyelidikan pertama yang memberi tumpuan khusus kepada tingkah laku pengguna dengan hasrat beralih kepada penggunaan kenderaan hijau di bandar-bandar utama Sarawak.
“Penyelidikan bertajuk ‘Developing an Integrated Framework to Examine Consumer Switching Intention to Green Vehicles in Sarawak’, akan meneliti pelbagai faktor psikologi, emosi dan persepsi yang mempengaruhi keputusan pengguna, termasuk keprihatinan ke atas alam sekitar, nilai yang dirasakan, kepercayaan teknologi kenderaan hijau, keyakinan jarak perjalanan, imej jenama, pengaruh sosial, persepsi risiko serta tabiat mobiliti sedia ada.
“Kajian berkenaan turut mengenal pasti sebab kadar penggunaan kenderaan hijau masih rendah walaupun kesedaran masyarakat semakin meningkat dengan memberi tumpuan kepada isu kemampuan memiliki kenderaan, kemudahan pengecasan, nilai jualan semula, kebolehpercayaan teknologi dan tahap keyakinan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, kerjasama penyelidikan tersebut dimulakan secara rasmi menerusi mesyuarat pelancaran projek yang diadakan di Swinburne Sarawak pada 15 Julai lalu bagi membincangkan hala tuju penyelidikan, jadual pelaksanaan, strategi pengumpulan data serta sumbangan kepada pembangunan ekosistem mobiliti hijau Sarawak.






