KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak bersedia menerima pertambahan kemasukan pelajar susulan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak bermula tahun depan.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Amar Jaul Samion berkata, pihak universiti telah membuat persiapan sewajarnya bagi memastikan keupayaan fasiliti dan tenaga pengajar mencukupi untuk menampung peningkatan permohonan.
“Butiran lanjut telah diperincikan untuk menentukan kursus atau bidang pengajian yang akan diliputi di bawah FTES. Kami menjangkakan peningkatan jumlah permohonan kemasukan, namun kapasiti universiti dan kemudahan sedia ada mampu menampungnya.
“Universiti Teknologi Swinburne Sarawak sedang mengambil setiap langkah perlu bagi memastikan kami dapat mengurus peningkatan pengambilan pelajar apabila skim ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pembangunan masa depan Swinburne Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-25 universiti itu di kampus berkenaan di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Jaul berkata Universiti Teknologi Swinburne Sarawak akan memperkenalkan empat program akademik baharu tahun depan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta keperluan industri semasa.
Antara program baharu tersebut ialah Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman (Kepujian) yang menawarkan laluan khas ke kampus Melbourne, Foundation Plus (Program Asasi Plus – Bahasa Inggeris) serta Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).
“Program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam teknologi baharu, manakala Diploma Pascasiswazah Pendidikan pula membantu menangani kekurangan tenaga pengajar dan memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
“Program Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman (Kepujian) menawarkan laluan unik di mana pelajar akan menamatkan dua tahun pengajian di Kuching sebelum menyambung pengajian ke Swinburne Melbourne,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho berkata, pelaksanaan program baharu tersebut akan dijalankan secara berperingkat sepanjang tahun depan.
“Diploma Pascasiswazah Pendidikan dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun, diikuti program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan pada separuh kedua.
“Laluan baharu Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman (Kepujian) juga akan dilancarkan dalam separuh pertama tahun, manakala Foundation Plus (Program Asasi Plus – Bahasa Inggeris) akan bermula pada separuh kedua,” katanya.
Menurutnya, Program Asasi Plus (Bahasa Inggeris) yang berlangsung selama satu setengah tahun turut membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa dan kesediaan mereka sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Jaul menegaskan, inisiatif baharu ini adalah sebahagian daripada usaha Universiti Teknologi Swinburne Sarawak memastikan universiti tersebut kekal relevan dan seiring dengan agenda inovasi serta pendidikan negeri.
Turut hadir, Timbalan Pro Naib Canselor (Penyelidikan), Profesor Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman serta Pengarah Pentadbiran, Caroline Hon.



