ARTIKEL

Santapan Lebaran Hari Raya Bufet bakal menyajikan pengalaman kebersamaan yang lebih istimewa.

Syawal Di Tepi Pantai: Nikmati Bufet Mewah Dan Pemandangan Memukau Di Santubong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Menjelang ketibaan Syawal, Damai Beach Resort menjemput orang ramai bersama-sama keluarga dan sahabat handai menikmati Santapan Lebaran Hari Raya Bufet yang penuh warna dan aroma, di tepi pantai yang tenang.

Berlatarbelakangkan pantai Santubong yang tenang, diiringi hembusan bayu laut dan panorama senja memukau, para tetamu bukan sahaja dijamu dengan hidangan, tetapi turut disajikan dengan pengalaman kebersamaan yang lebih istimewa.

Menurut kenyataan pihak resort, inisiatif tersebut dirangka bagi menyediakan ruang bermakna untuk masyarakat berkumpul dan merayakan kemenangan Syawal dalam suasana yang cukup meriah.

“Kami mahu tetamu merasai semangat sebenar Hari Raya Aidilfitri menerusi hidangan lazat, pertemuan bermakna dan kedamaian suasana tepi laut,” katanya.

Bufet istimewa yang dijadualkan berlangsung pada hari raya pertama dan kedua itu mengangkat warisan kulinari tempatan sebagai tarikan utama, bermula jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Antara juadah tradisional yang bakal disajikan termasuk rendang daging yang dimasak dengan rempah asli, ketupat palas, lemang, ayam masak merah serta pelbagai hidangan nostalgia lain hasil sentuhan cef berpengalaman.

Meja bufet turut dimeriahkan dengan pilihan manisan seperti kek lapis Sarawak, buah-buahan tropika dan aneka minuman segar.

“Konsep bufet ini direka bersesuaian untuk semua lapisan umur, sama ada bagi keluarga besar, sahabat karib mahupun rakan sekerja yang ingin meraikan Syawal bersama-sama.

“Pasukan kulinari kami menyusun menu yang menampilkan hidangan kegemaran ramai bagi memastikan setiap tetamu dapat menikmati sajian yang disediakan dengan sempurna,” jelasnya.

Selain kepelbagaian juadah, dekorasi bertemakan Aidilfitri yang digabungkan dengan keindahan alam semula jadi Santubong dijangka menambah seri sambutan dan rasa syukur para pengunjung.

Dari meja makan, tetamu boleh menikmati alunan ombak yang menenangkan, sekali gus memberikan pelarian seketika daripada kesibukan kota untuk menikmati Syawal dalam rentak yang lebih santai.

Bagi menambah daya tarikan, pihak resort turut menawarkan promosi istimewa kepada pelanggan yang membuat tempahan awal menerusi aplikasi Insiders Club.

“Harga bufet ditetapkan pada kadar RM118 untuk dewasa, RM88 bagi warga emas dan RM38 bagi kanak-kanak berumur empat hingga 11 tahun.

“Bagaimanapun, mereka yang menempah awal melalui platform tersebut berpeluang menikmati diskaun sebanyak 20 peratus selain memperoleh mata ganjaran,” ujarnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tetamu yang menginap di resort berkenaan akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus bagi memudahkan mereka merasai pengalaman Aidilfitri yang lengkap.

“Harga penginapan bermula daripada RM240 untuk dua hari satu malam pada hari Ahad hingga Khamis, manakala RM340 bagi hari Jumaat dan Sabtu termasuk sarapan pagi.

“Promosi ini bertujuan menggalakkan tetamu merancang sambutan lebih awal dengan penjimatan eksklusif melalui platform Insiders Club,” tambahnya sambil memberitahu tawaran harga penginapan tersebut akan berakhir pada 31 Mac ini.

Dengan gabungan lokasi strategik, hidangan menyelerakan dan nilai kekeluargaan, pihak resort menjangkakan sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan serta pelancong.

Orang ramai digalakkan untuk membuat tempahan awal bagi menjamin ketersediaan tempat mengikut waktu pilihan masing-masing.

“Maklumat lanjut serta tempahan boleh dibuat menerusi aplikasi Insiders Club atau menghubungi talian tempahan rasmi resort,” katanya lagi.

Aidilfitri di tepian pantai Santubong kali ini menjanjikan pengalaman penuh warna dan makna yang akan meninggalkan memori indah buat semua pengunjung.

P2: Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna diraikan di tepi pantai Santubong yang tenang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU