Syed Hamzah buat laporan polis dan saman Sarawak Report dan dua pemilik akaun Facebook

KUCHING: Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report dan dua pemilik akaun Facebook berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai kelulusan geran kepada syarikat milik isterinya, Azzahra Product Sdn Bhd.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Wan Junaidi berkata telah membuat laporan di Balai Polis Sekama pada jam 9 pagi hari ini ke atas pemilik akaun Facebook iaitu Jap Zainal dan Pemasang Sarawak Baru (PSB).

“Hari ini juga saya telah melantik peguam saya di Kuching untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas dua pemilik akaun Facebook kerana menyebarkan fitnah untuk mengaibkan saya.

“Saya juga telah mengarahkan peguam saya di Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Clare Rewcastle di London selaku editor Sarawak Report di atas fitnah yang di buat ke atas saya dan Datuk Seri Wan Junaidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Syed Hamzah menjelaskan geran SME Corp berjumlah RM338,950 yang diluluskan kepada syarikat isterinya iaitu Azzahra Product Sdn Bhd tidak ada kaitan dengan Wan Junaidi selaku menteri Medac termasuk dirinya sebagai Setiausaha Politik kepada Wan Junaidi.

Katanya geran tersebut telah diluluskan oleh SME Corp 10 Oktober pada 2017, sedangkan beliau dan Wan Junaidi mula berkhidmat di Medac pada 22 April 2020.

“Bagaimana mungkin saya dan Wan Junaidi terlibat dengan kelulusan geran pada empat tahun yang lepas sedangkan kami mula berkhidmat di Medac pada 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Hamzah berkata fakta berkenaan adalah bertentangan dengan dakwaan Sarawak Report dan dua pemilik akaun Facebook terbabit.

Suara Sarawak