Syor komputer riba percuma untuk pelajar

KUCHING: Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Covas) menyarankan agar Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan segera untuk skim komputer riba percuma kepada pelajar tingkatan enam sesi 2021, khasnya mereka yang daripada kumpulan B40 dan M40.

Timbalan Presidennya Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, rasional daripada skim komputer riba ini adalah untuk membantu pelajar tingkatan enam dalam keperluan untuk kecemerlangan pendidikan.

“Berbanding pelajar kolej atau universiti yang mampu membeli komputer riba sendiri menggunakan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), golongan ini lebih memerlukan.

“Dengan adanya komputer riba ini, ia akan memudahkan pelajar terutama setelah mereka melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Beliau berkata, seramai 5,500 pelajar tingkatan enam di Sarawak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pendidikan terbaik ekoran kekangan mengikuti kelas.

Shamsudin menjelaskan, pendidikan melalui peranti atau televisyen sudah pasti tidak mencukupi kerana banyak bahan rujukan diperlukan termasuk tunjuk ajar guru.

Menurutnya, komputer riba tersebut juga boleh digunakan sebagai gajet untuk pelajar melibatkan diri dalam perniagaan khususnya e-dagang.

Shamsudin memberitahu, komputer riba adalah gajet yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah sebahagian besar pelajar tingkatan enam.

“Mereka yang terdiri daripada keluarga B40 sudah pasti sukar untuk mendapatkan komputer riba kerana makan minum harian adalah keutamaan keluarga.

“Justeru, Covas mengalu-alukan pemberian skim komputer riba percuma kepada pelajar tingkatan enam sesi 2021 yang bersesuaian dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) sekarang,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan menyokong projek pintar oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) terutama dengan pembinaan 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Katanya, dengan adanya kemudahan ini, ia dapat meningkatkan rangkaian jalur lebar di kawasan yang kurang capaian Internet di negeri ini.