SARATOK: Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Tunas Istimewa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dicadangkan untuk diwujudkan di daerah Kabong mulai tahun depan bagi memperluas akses pendidikan awal yang lebih inklusif kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Pegawai KEMAS Daerah Saratok, Latif Amit berkata, pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa di Kabong dirangka bermula tahun 2027 sebagai sebahagian usaha memperluas perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak KEMAS, khususnya kepada golongan berkeperluan khas.

“Mengenai pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa di Kabong, ia dirangka bermula tahun 2027 sebagai salah satu usaha memperluas perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak KEMAS, khususnya bagi mereka yang berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Menabung Untuk Masa Depan Gemilang (SFGF) Tabika dan Taska KEMAS DUN Kalaka dan Krian 2026 di Dewan Sri Krian.
Jelasnya, kewujudan Tabika Tunas Istimewa dapat memberi peluang kepada kanak-kanak berkeperluan khas untuk mendapat pendidikan awal dalam persekitaran yang bersesuaian dengan keperluan serta perkembangan mereka.
Awal tahun lalu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memaklumkan sebanyak 24 Tabika Tunas Istimewa KEMAS disasarkan dibuka di seluruh Sarawak menjelang tahun 2027.
Pelaksanaan itu merangkumi kesemua daerah di Sarawak menerusi pendekatan “Satu Daerah, Satu Tabika Tunas Istimewa”, sebagai usaha memastikan akses pendidikan awal yang lebih saksama serta tidak meminggirkan kanak-kanak berkeperluan khas daripada arus pembangunan pendidikan.
Untuk rekod, Tabika Tunas Istimewa KEMAS Kampung Tanjung Bundong Fasa Tiga, Kota Samarahan merupakan Tabika Tunas Istimewa KEMAS yang pertama diwujudkan di Sarawak.
Sementara itu, mengenai Program SFGF, Latif berkata program berkenaan melibatkan 355 kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS, selain penyertaan ibu bapa serta komuniti setempat.
Katanya, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kepentingan amalan menabung sebagai persediaan menghadapi keperluan pada masa hadapan.
“Pada masa sama, program ini memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai konsep pengurusan wang secara bijak dan bertanggungjawab, selain membentuk tabiat positif dalam pengurusan kewangan melalui amalan menabung secara konsisten,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena program itu termasuk Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, ceramah bertajuk ‘Bahaya Ancaman Jenayah Siber’, penerangan mengenai ASB sebagai perancangan kewangan serta pembukaan akaun dengan ASNB, Agrobank dan Bank Rakyat.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada ASNB, Agrobank, Bank Rakyat serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.



