ARTIKEL

Nur-ul Afida (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama Kadir (dua dari kiri) dan Jenny (kiri) selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM di kediaman Kadir di Taman Merdang Gayam, di sini hari ini.

Tabung Kasih@HAWANA X TM ringankan beban koresponden TV3 di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah hakikat yang dilalui Koresponden Wilayah TV3, Kadir Edison, 44, apabila isterinya, Jenny Chieng, 40, disahkan menghidap diabetes sehingga memerlukan rawatan rapi serta pemantauan kesihatan secara berterusan.

Ujian yang datang tanpa diduga itu bukan sahaja menguji ketabahan mereka sekeluarga, malah menuntut pengorbanan berterusan apabila isterinya memerlukan bekalan jarum insulin dan jalur ujian glukosa yang perlu dibeli secara berkala.

Sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan pengamal media, bantuan telah disalurkan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM, iaitu inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan hasil sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Kadir bersama-sama Jenny ketika ditemui media.

Kadir yang merupakan antara enam penerima sumbangan di Sarawak berkata, bantuan tersebut amat bermakna kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan rawatan yang perlu ditanggung keluarganya.

Menurut beliau, jalur ujian glukosa perlu dibeli sekurang-kurangnya dua minggu sekali kerana isterinya perlu memeriksa paras gula dalam darah sekurang-kurangnya empat kali sehari, selain bekalan jarum insulin yang perlu diganti secara berkala.

Mengimbas detik isterinya disahkan menghidap penyakit itu, Kadir memberitahu bahawa Jenny dimasukkan ke hospital pada penghujung Januari lalu selepas kesihatan terjejas dan keadaan tubuh yang semakin lemah.

“Ketika dimasukkan ke ICU, bacaan gula dalam darah isteri saya mencecah 31 mmol/L, sedangkan menurut doktor pakar, bacaan 15 pun sudah dianggap tinggi.

“Isteri saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama empat hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama kira-kira lapan hari. Keadaannya ketika itu turut diburukkan lagi apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin di kediamannya di Taman Merdang Gayam, di sini hari ini.

Tambahnya, kewujudan Tabung Kasih@HAWANA X TM membuktikan kebajikan pengamal media turut diberi perhatian khususnya mereka yang berhadapan dengan ujian hidup di luar tuntutan kerjaya.

Menurut beliau, masyarakat sering melihat kerjaya pengamal media sebagai sesuatu yang glamor dan berpendapatan lumayan, namun hakikatnya ramai tidak mengetahui cabaran sebenar yang dihadapi di sebalik tugasan.

“Kita selalu membantu orang mendapatkan bantuan, tetapi apabila kita sendiri berdepan kesusahan, siapa pula yang membantu kita?

“Sebab itu, saya amat menghargai kewujudan Tabung Kasih@HAWANA ini kerana ia benar-benar membantu pengamal media yang memerlukan.

“Ramai menyangka kerja media ini mudah dan bergaji besar, tetapi realitinya tidak begitu. Orang tidak tahu apa yang kami lalui, jadi apabila ada tabung seperti ini, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan kesusahan yang kami hadapi,” ujar beliau yang telah berkhidmat dengan Media Prima sejak 2015.

Sementara itu, Jenny memaklumkan bahawa dia tidak menyangka keluarganya menjadi antara penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA X TM, apatah lagi sebelum ini hanya melihat bantuan seumpama itu disalurkan kepada pihak lain.

“Saya memang terkejut apabila dimaklumkan kami menerima bantuan ini. Sebelum ini saya hanya tahu suami bekerja dalam bidang media dan selalu melihat orang lain menerima bantuan. Tak sangka kali ini giliran kami pula,” jelas beliau.

Mengimbas kembali keadaan kesihatannya, Jenny memaklumkan bahawa dia pernah bekerja sebelum berhenti pada 2020 dan mula mengalami masalah sakit saraf seiatik pada 2023.

Menurut beliau, simptom awal yang dialami ialah kebas pada kaki selain rasa mencucuk dan tidak selesa ketika berbaring mengiring ke kiri sehingga menjejaskan waktu tidur.

“Selepas itu sakit pada tulang belakang semakin teruk dan badan saya semakin membongkok. Lama-kelamaan saya langsung tidak dapat berjalan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Saya kemudian menerima rawatan dan menjalani terapi di Hospital Umum Sarawak (HUS). Doktor turut membekalkan ubat dan sehingga kini saya masih perlu mengambilnya,” jelas beliau.

Jenny menyatakan bahawa ketika itu dia tidak mengetahui dirinya menghidap diabetes sehingga dimasukkan ke hospital.

Menurut beliau, doktor memaklumkan keadaan diabetes yang dialaminya berkemungkinan dipengaruhi oleh pergerakan yang semakin terhad akibat sakit saraf seiatik.

“Sebelum ini saya seorang yang aktif, tetapi selepas mengalami sakit saraf seiatik, saya tidak lagi dapat bergerak seperti biasa atau bersenam. Doktor menjelaskan keadaan itu mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penyakit diabetes yang saya hidapi.

“Doktor juga memaklumkan saya dipercayai menghidap diabetes tahap 1, iaitu keadaan apabila tubuh tidak menghasilkan insulin yang mencukupi untuk mengawal paras gula dalam darah. Itulah antara punca saya dimasukkan ke ICU,” tegas beliau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU