Tagih sikap tolak ansur serta saling bekerjasama demi kemakmuran – Razi

DEBAK: Rakyat di negeri ini dituntut untuk terus memelihara perpaduan kaum dengan memahami budaya masyarakat lain, dalam masa yang sama menolak ekstremisme.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, kerjasama semua kaum untuk memelihara perpaduan rakyat terus ditagih.

“Sikap tolak ansur serta saling bekerjasama merupakan titik penting ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat khususnya di Saribas dan Sarawak amnya.

“Dalam masa yang sama memahami adat budaya dan kepercayaan antara satu sama lain termasuk menolak ideologi ekstremisme,” katanya.

MERIAH … Sebahagian masyarakat Tiong Hua dari dalam dan luar Saribas yang turut serta pada program tersebut.

Beliau bercakap demikian ketika hadir ke perarakan Pesta Juntoi Komuniti Cina bersempena ulang tahun Tua Pek Kong di sini, malam kelmarin.

Jelasnya, perarakan seumpama ini misalnya melibatkan kerjasama semua kaum termasuk masyarakat Melayu dan Iban.

“Saya nampak semua yang terlibat saling bekerjasama memastikan perarakan berjalan lancar. Walaupun kita sedia maklum bahawa ia merupakan budaya masyarakat Tiong Hua.

“Perbezaan ditolak demi kemakmuran bersama dan saya mengharapkan hubungan baik yang terjalin terus dapat dikekal serta dipertingkatkan,” ujarnya.

Perarakan malam itu disertai kira-kira 3,000 pengunjung termasuk komuniti Cina dari Kuching, Sibu, Sarikei, Kabong, Roban, Saratok, Pusa, Spaoh, Betong, Engkilili dan Sri Aman.

Ia turut diserikan dengan persembahan tarian naga, karaoke lagu Cina, Melayu dan Iban serta pertunjukan bunga api.

Razi turut menyumbang RM20,000 geran Kerajaan Sarawak.

Hadir sama Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang, Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, Kapitan Cina Debak Chua II Jen serta ketua-ketua masyarakat dan kaum berbilang kaum.

RAKAMAN … Sekitar suasana perarakan Pesta Juntoi Komuniti Cina bersempena ulang tahun Tua Pek Kong di sini, malam kelmarin.