PELAKON muda berbakat, Hun Haqeem, mencuri perhatian ramai apabila videonya sedang mendirikan solat di lokasi penggambaran tular di media sosial.
Momen indah itu pada awalnya dirakam oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Ayda Jebat, lalu dikongsi menerusi Instagram Story miliknya.
Ayda, atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, meluahkan rasa kagum terhadap komitmen Hun dalam menjaga solat walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat.
Dalam kapsyen berseloroh namun penuh makna, Ayda menulis: “Baik, solat tak tinggal.
Kadang-kadang kelakar, pandai kopekkan udang dan ikan.
Single katanya,” tulis Ayda sambil menyertakan foto Hun dalam keadaan sedang beribadah.
Rata-rata pengguna media sosial memuji Hun sebagai seorang pelakon yang bukan sahaja berwajah tampan, malah mempunyai akhlak dan disiplin yang terpuji.
Ayda, yang pernah bergandingan dengan Hun, atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 27, dalam beberapa projek drama, turut memuji keperibadian aktor itu yang disifatkan sebagai sopan, mesra dan mudah disenangi sesiapa sahaja di set penggambaran.
Dengan pujian yang datang daripada rakan artis dan peminat, ramai yang berseloroh agar sesiapa yang masih ‘single’ boleh terus mesej langsung (DM) Hun Haqeem.
Namun, pelakon Kampung People itu kini semakin mendapat tempat bukan sahaja kerana bakat lakonannya, tetapi juga kerana keseimbangan antara rupa, akhlak dengan iman.



