ARTIKEL

Takdir membuka jalan ke pintu Astana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADA satu perkara yang menarik tentang perjalanan hidup Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Beliau tidak pernah merancang untuk sampai ke kedudukan yang didudukinya hari ini. Daripada anggota polis, peguam, ahli parlimen dan menteri, beliau akhirnya menggalas amanah sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Bagi Tun Wan Junaidi, hidup bukan semata-mata tentang merancang destinasi. Ada kalanya, manusia perlu tersesat untuk menemukan jalan pulang. Hampir tiga tahun menggalas amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri, beliau melihat perubahan Sarawak bukan sahaja dari sudut pembangunan dan ekonomi, tetapi juga keperluan rakyat untuk berubah melalui ilmu, pendidikan dan cara berfikir.

Setiap pagi selepas solat subuh, WhatsApp menjadi ruang untuknya berhubung dengan rakyat dengan menjawab mesej, membaca keluhan dan mengetahui gelodak jiwa masyarakat.

Hobinya tetap suka membaca, menulis dan mengikuti denyut nadi masyarakat.

Dalam wawancara khas sempena ulang tahun kelahirannya, Tun Wan Junaidi berkongsi cerita dari wartawan kami, SITI NURAIN RATANI dan jurufoto RAMIDI SUBARI berkongsi perjalanan hidup, pemikiran, perubahan Sarawak serta perkara yang dianggap penting untuk generasi akan datang.

TUN tidak pernah merancang untuk menjadi siapa Tun hari ini. Setelah melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, apakah yang Tun pelajari daripada perjalanan hidup yang telah dilalui?

TUN PEHIN SRI DR WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR: Saya pernah menerima satu pesanan yang mengatakan manusia perlu merancang jalan hidup untuk sampai ke sesuatu destinasi. Saya menjawab, kadangkala kita perlu tersesat untuk menemukan haluan kita.

Berapa ramai antara kita yang benar-benar merancang untuk sampai ke tempat kita berada pada hari ini? Saya tidak pernah merancang atau bermimpi untuk menjadi seseorang yang seperti saya hari ini. Saya hanya melakukan sesuatu, bergerak dan berubah mengikut keadaan. Saya tidak pernah memikirkan destinasi.

Saya percaya terlalu ramai orang kecewa kerana banyak merancang, kemudian kecewa apabila apa-apa yang dirancang tidak tercapai. Kita semua tidak mungkin menjadi komander, Ketua Polis Negara, menteri atau Perdana Menteri.

Sebahagian daripada kita perlu berpuas hati menjadi pengikut. Tetapi menjadi pengikut yang baik, cemerlang dan hebat juga penting supaya orang yang berada di atas dapat kelihatan lebih baik. Setiap kali saya ditugaskan di mana-mana kementerian, jabatan dan sebagainya, saya melakukan yang terbaik kerana perkara itu memberikan kepuasan kepada saya.

Sebagai seorang Islam, kita percaya kepada takdir. Kita melakukan yang terbaik yang kita mampu, manakala apa-apa yang berlaku selepas itu, kita serahkan kepada ketentuan Allah. Saya tidak pernah menetapkan sasaran untuk menjadi seseorang yang penting, tidak pernah merancang untuk mendapatkan sesuatu jawatan dan jauh sekali melobi untuk mendapatkannya. Apabila menerima pelantikan sesuatu jawatan, saya bersyukur dan melakukan yang terbaik.

Hampir tiga tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri, apakah perubahan terbesar yang Tun rasakan dalam diri sendiri dan bagaimana latar belakang undang-undang mengengaruhi tanggungjawab Tun?

Perubahan yang paling nyata ialah daripada kehidupan saya sebelum ini sebagai orang biasa, pernah duduk di kaki lima, menjadi menteri, berjumpa dengan orang ramai dan berhenti di tepi jalan untuk berbual, kepada kedudukan sebagai Yang di-Pertua Negeri. Kedudukan sebagai Yang di-Pertua Negeri mempunyai kemuliaan dan wibawa yang perlu dijaga. Pada masa yang sama, naluri asal saya adalah untuk bersama semua lapisan masyarakat.

Cuma kehendak jawatan itu sedikit berbeza. Saya perlu tahu membezakan apa-apa yang saya lakukan dahulu dengan apa-apa yang saya lakukan sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Dalam Perlembagaan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak bukan lagi menggunakan istilah Gabenor. Nama jawatan itu ditukar sejak 1976. Secara keseluruhannya, kedudukan Yang di-Pertua Negeri mempunyai fungsi perlembagaan yang besar.

Sebagai seorang yang memahami perlembagaan dan undang-undang, saya mengetahui garis panduan dan batas kuasa yang ada. Kerajaan mesti memaklumkan kepada saya mengenai perkara seperti pembangunan jambatan, jalan raya, aliran undang-undang dan dasar yang hendak digubal.

Prinsip saya ialah berpegang kepada perlembagaan dan undang-undang. Kalau saya berasa waswas atau mempunyai pendirian dari sudut undang-undang, saya akan mendapatkan pandangan Peguam Besar Negeri. Itu yang dipanggil second opinion.

Saya perlu memahami sendiri, tetapi dalam masa yang sama tetap mendapatkan pandangan Peguam Besar Negeri sebagai penasihat rasmi kerajaan. Bagi saya, itulah cara untuk memastikan setiap keputusan dibuat mengikut perlembagaan dan undang-undang.

Sepanjang hampir tiga tahun, Tun bertemu ramai rakyat dan masih mengikuti media sosial. Apakah yang paling Tun anggap penting daripada hubungan itu?

Banyak kumpulan datang mengadakan kunjungan rasmi. Adakalanya sampai tiga, empat malah lima kumpulan dalam sehari. Daripada pertemuan itu, saya dapat berkongsi pandangan dan pengetahuan, tetapi pada masa yang sama mendengar rungutan dan pengalaman orang yang datang berjumpa.

Saya memang banyak membaca, menulis dan berfikir. Semasa di parlimen dahulu, saya pernah digelar “ensiklopedia bergerak”.

Jadi apabila berjumpa orang ramai, pertemuan itu bagi saya ialah two-way traffic — saya berkongsi apa-apa yang saya tahu dan dalam masa yang sama mendengar apa-apa yang dilalui oleh mereka.

Pada awal pelantikan, saya menutup Facebook, media sosial dan kumpulan WhatsApp kerana tidak mahu terlibat dalam personalan politik.

Tetapi kemudian saya berfikir, kalau saya tidak mengetahui denyut nadi rakyat, sukar untuk saya memahami keadaan sebenar. Saya tidak mahu hanya bergantung kepada berita tangan kedua.

Sebab itu, saya membuka semula media sosial. Selepas solat subuh, saya akan membalas mesej WhatsApp. Secara purata, saya menerima mesej antara 80 hingga 100 mesej setiap pagi, dan ada kalanya jumlahnya mencecah 300 atau 400 mesej sehari.

Misalnya pernah seorang bekas wartawan menghantar mesej dan memberitahu keadaannya sangat sukar selepas melanggani serangan jantung dan strok sehingga tidak lagi dapat bekerja. Dia tinggal bersendirian di kampung dan menerima bantuan kita-kira RM200.

Saya menyampaikan perkara itu kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah. Alhamdulillah, beliau menghantar pegawai kanannya untuk berjumpa dan bantuan tambahan disalurkan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Tetapi jangan sampai pegawai kerajaan hanya bertindak selepas Yang di-Pertua Negeri menyampaikan sesuatu aduan. Pegawai yang bertanggungjawab perlu mengetahui keadaan di lapangan dan bertindak sendiri.

Kita tidak boleh lagi duduk di pejabat dan menunggu aduan datang. Pegawai perlu pergi ke kampung, melihat sendiri keadaan dan memahami apa-apa yang berlaku. Kita memerlukan pegawai yang proaktif.

Setiap pegawai kerajaan perlu memahami ilmu, tugas, skop dan tanggungjawab masing-masing. Kita tidak boleh bekerja secara sillo.

Tidak boleh berkata, itu kerja kamu, ini kerja saya. Kalau sesuatu perkara melibatkan kerajaan, kita perlu bekerjasama. Kita berada dalam satu kerajaan.

Membaca dan menulis menjadi sebahagian daripada kehidupan Tun. Bagaimanakah Tun melihat ilmu dan pengalaman itu?

Saya tidak mempunyai aktiviti lain. Hanya dua perkara, iaitu membaca dan menulis. Dahulu saya bermain tenis setiap hari, tetapi selepas pulang daripada Pasukan Polis Hutan, saya mengalami kecederaan.

Tangan saya terkenal dan sejak itu saya berhenti bermain tenis. Dalam tempoh tiga tahun sahaja, saya sudah mempunyai koleksi hampir 2,000 buku.

Apabila orang tahu saya suka membaca, ada yang memberikan buku kepada saya. Ketika saya pergi ke Brunei, mereka memberikan saya 125 naskhah buku.

Saya juga menulis. Contohnya, sebuah buku yang diterbitkan pada 2025 bertajuk Teriso’s Little Star sebenarnya saya tulis pada 1990-an. Ia hanya diterbitkan selepas berpuluh-puluh tahun tersimpan dalam komputer riba.

Pengalaman kita, walaupun separa lama kita lalui, setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang lain. Itu merupakan ilmu.

Sebanyak mana pun saya membaca, masih banyak perkara yang saya tidak ketahui. Semakin banyak kita membaca, semakin banyak kita belajar. Semakin banyak kita memahami, semakin kita sedar bahawa masih banyak yang kita tidak tahu.

Tun menyaksikan perubahan Sarawak sejak menjadi ahli parlimen pada 1990. Bagaimanakah Tun melihat perubahan ekonomi dan keperluan tenaga kerja negeri?

Kita perlu melihat perubahan itu sejak era Brooke, pemerintahan British, zaman selepas Perang Dunia Kedua dan pembentukan Malaysia pada 1963. Setiap zaman mempunyai cabaran yang berbeza. Ekonomi Sarawak pada satu ketika banyak berkembar berdasarkan sumber alam. Balak pernah menjadi sumber utama dan menyumbang kira-kira 50 peratus kepada belanjawan tahunan Sarawak tetapi pertumbuhan berasaskan sumber ini mempunyai batas.

Di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak mula mengubah pendekatan daripada terlalu bergantung kepada sumber alam kepada sektor-sektor baharu. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sumber asli. Ekonomi digital membawa perubahan besar dan ilmu pengetahuan menjadi semakin penting. Pembangunan hidrogen juga menunjukkan perubahan itu. Hidrogen berbeza daripada bahan api fosil, boleh diperbaharui dan mesra alam. Jadi kita perlu berubah.

Tetapi persoalannya ialah sama ada anak-anak kita dan ibu bapa mereka bersedia untuk perubahan itu. Sekarang kita bercakap tentang teknologi tinggi, tenaga hidro, ekonomi digital, kecerdasan buatan, hidrogen dan pelbagai lagi bidang. Semua itu memerlukan manusia yang mempunyai kelayakan dan kemahiran.

Ibu bapa jangan berasa cukup hanya apabila anak mendapat sijil. Kita mesti melihat bidang yang mempunyai permintaan dalam pasaran pekerjaan. PETROS, syarikat berkaitan kerajaan dan industri baharu memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran.

Oleh itu, pendidikan dan pembangunan modal insan mesti bergerak seiring dengan transformasi ekonomi. Kita boleh membina jalan, jambatan dan industri, tetapi akhirnya kita memerlukan manusia yang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menggerakkannya.

Tun sering menekankan kepentingan sejarah khususnya Perjanjian Malaysia 1963. Apakah yang Tun mahu generasi hari ini fahami?

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih mengelirukan ramai orang. Kita perlu membezakan antara hasrat politik dengan kedudukan undang-undang dan perlembagaan pada masa tersebut. Sejarah mesti berdasarkan fakta, dokumen, undang-undang dan rekod yang ada.

Pada 22 Julai 1963, Datuk Seri Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri dan membentuk Kabinet Sarawak. Itu merupakan satu perkembangan penting dalam pemerintahan sendiri Sarawak.

Tetapi dari 22 Julai hingga 16 September, bendera Union Jack masih berkibar di Sarawak dan Gabenor British masih berada di sini. Mana-mana undang-undang atau peraturan yang dibuat mesti perlu mendapat perkenan Gabenor British, Sir Alexander Waddell.

Penghapusan bidang kuasa serta kuasa berdaulat British hanya berlaku pada 15 September, iaitu satu saat selepas tengah malam apabila masuk 16 September. Pada ketika itu, Perlembagaan Sarawak mula berkuat kuasa dan Perlembagaan Malaysia diperluaskan ke Sarawak.

Ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2021, lawatan pertama saya ialah ke Kuching. Saya mahu memastikan Perlembagaan mengiktiraf kewujudan MA63. Pindaan pada Disember 2021 dan kemudiannya berkuat kuasa pada 2022 memberikan asas perlembagaan kepada kerajaan negeri untuk berunding mengenai perkara yang sedang kita runding sekarang.

Justeru, MA63 mengandungi hak-hak kita. Jadi bukan soal apalagi Sarawak mahu. Persoalannya ialah apalagi perkara yang terkandung dalam perjanjian yang belum dilaksanakan dan belum direalisasikan. Mengenai perkadaran wakil Sarawak dan Sabah pula, pada 1963 Tanah Melayu mempunyai 104 kerusi, Sarawak 24, Sabah 16 dan Singapura 15, menjadikan jumlah keseluruhan 159 kerusi. Sarawak, Sabah dan Singapura ketika itu mempunyai 55 daripada 159 kerusi, iaitu kira-kira 34.6 peratus.

Apabila Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, 15 kerusi tersebut tidak diagihkan semula kepada Sarawak dan Sabah. Jumlah kerusi menjadi 144, sedangkan Sarawak dan Sabah kekal dengan 40 kerusi. Jadi perkadaran turun kepada kira-kira 27.8 peratus.

Daripada semua pengalaman Tun dalam undang-undang, politik dan pentadbiran, apakah ilmu paling berharga dan perkara yang paling Tun syukuri?

Pengalaman. Setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang lain. Itu merupakan ilmu. Orang yang hendak memegang sesuatu kedudukan mesti tahu perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Pengetahuan undang-undang, sejarah dan pentadbiran penting kerana kita tidak boleh mempertahankan sesuatu yang kita sendiri tidak faham.

Saya bersyukur kerana setiap kali saya diberikan sesuatu tanggungjawab, saya dapat melakukannya dengan sebaik-baiknya. Saya tidak pernah merancang untuk menjadi seseorang yang berada pada kedudukan tertentu. Saya tidak pernah melobi untuk mendapat sesuatu jawatan. Apabila menerima pelantikan, saya bersyukur dan melakukan yang terbaik.

Tidak semua orang boleh berada di atas. Kadangkala kita perlu menjadi orang yang berada di bawah yang dapat melakukan tugas dan tanggungjawab yang baik supaya orang yang berada di atas dapat dilihat lebih baik. Dan bagi saya, itulah kehendak Tuhan.

Kita buat apa-apa yang kita mampu buat. Kita lakukan dengan sebaik-baiknya dan apa-apa yang berlaku selepas itu, kita serahkan kepada ketentuan Allah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU