KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesan tiga kes kecurian elektrik melibatkan pemasangan kabel bawah tanah yang disembunyikan di sekitar Batu Kawa, Stutong dan Jalan Stephen Yong, baru-baru ini.
Syarikat utiliti itu dalam kenyataan memaklumkan bahawa kegiatan berkenaan dikesan menerusi operasi yang dijalankan oleh cabang operasi dan runcitnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
Menurut kenyataan itu, sambungan elektrik haram tersebut dipasang dengan cara menanam kabel di bawah tanah serta disembunyikan di bawah permukaan konkrit bagi mengelakkan dikesan, sekali gus memintas sistem pemeteran dan mekanisme keselamatan yang ditetapkan.
SEB menegaskan tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan serius termasuk kebakaran elektrik, renjatan, kerosakan infrastruktur serta gangguan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar.
“Kecurian elektrik merupakan kesalahan jenayah di bawah Ordinan Elektrik. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 33(5), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SEB menggesa pemilik premis memantau hartanah masing-masing secara aktif memandangkan mereka boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kecurian elektrik, selain menasihatkan penyewa agar lebih berwaspada dan melaporkan sebarang pemasangan elektrik mencurigakan.
Syarikat itu turut menggalakkan orang ramai supaya peka terhadap petanda kecurian elektrik seperti jumlah bil yang luar biasa rendah, kehadiran pendawaian tidak standard serta kesan pengorekan atau kabel tersembunyi berhampiran pemasangan elektrik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com.


