Talib Zulpilip: Masih ada segelintir pihak yang belum faham pelaksanaan RTP

BINTULU: Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen) Datuk Haji Talib Zulpilip tidak menafikan memang terdapat sekumpulan kecil yang masih belum jelas tentang perlaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Project (RTP).

Bagaimanapun, katanya kumpulan tersebut agak kecil.

Mereka boleh merujuk perkara ini kepada Pejabat Residen untuk mendapat pencerahan yang tepat dan lanjut, ujarnya kepada Suara Sarawak.

Di samping itu, katanya lagi, terdapat juga kumpulan kecil yang sengaja tidak mahu tahu dan membuat cerita dongeng berhubung dengan penyelenggaraan projek RTP.

Entah apa niat atau muslihat mereka itu, hanya mereka sendiri sahaja yang tahu, ujarnya lagi.

RTP diperkenalkan oleh Allahyarham Tok Nan ketika Allahyarham menjadi Ketua Menteri kita dulu.

Beliau berpendapat cara ini adalah satu pendekatan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur luar bandar.

Apabila Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil alih, beliau meneruskan projek RTP. Di samping itu projek ini dipantau dengan rapi oleh Pejabat Ketua Menteri.

Dana RTP RM5 juta setahun bagi setiap DUN adalah dari kewangan Kerajaan Negeri sendiri, berbeza dengan projek PMR dibawah MP Parlimen yang mana sumber kewangannya dari Kerajaan Pusat, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak itu lagi.

Beliau memberitahu dana RTP itu adalah dibawah kelolaan Pejabat Residen Bahagian. Setiap ADUN hanya memberi senarai projek-projek untuk dilaksanakan.

Senarai projek ini diperolehi dari permintaan yang diajukan oleh rakyat atau JKKK kepada ADUN, Pusat Khidmat ADUN, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi pelaksana kerajaan yang berkaitan, katanya sambil menambah Jawatankuasa RTP DUN peringkat Bahagian akan bermesyuarat bagi menentukan keutamaan setiap projek mengikut DUN masing-masing dengan had jumlah tidak melebihi RM5 juta.

Pejabat ADUN atau YB ADUN tidak menerima peruntukan ini; ianya disalur melalui waran projek oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri kepada Pejabat Residen Bahagian.

Pernah saya mendengar ada seorang dua membuat cerita dongeng bahawa dana di masuk ke dalam akaun ADUN. Ini salah.

Seperti dijelaskan tadi dana ini berbentuk waran daripada Pejabat Kewangan Negeri kepada Pejabat Residen.

Beliau kesal apabila mengetahui masih terdapat individu membuat tuduhan liar mengenai peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar(RTP) yang didakwa masuk ke dalam akaun atau poket wakil rakyat.

Menyelar tuduhan liar tersebut, beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak meminta individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit menghentikan tuduhan liar mengenai perkara itu, sebaliknya, fokus kepada keperluan dan kebajikan rakyat.

Tegas beliau, wang peruntukan RTP disalurkan terus ke Pejabat Daerah dan agensi pelaksana berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya(JKR) dan pihak berkuasa tempatan.

Tuduhan kononnya peruntukan masuk ke dalam akaun atau poket wakil rakyat adalah tidak berasas ekoran mereka(wakil rakyat) tidak melihat atau memegang wang peruntukan tersebut,katanya.

Wakil rakyat hanya menyenaraikan projek, Pejabat Daerah dan agensi pelaksana bertanggungjawab melaksanakan projek

ADUN Jepak itu berkata demikian bagi menyokong kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri(Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dalam Suara Sarawak, hari ini.