KUCHING: Taman Agro Sg Baji mencapai tahap 99 peratus siap, membabitkan kerja infrastruktur dan komponen pertanian, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, sebagai tambahan kepada infrastruktur pertanian, pemasangan Internet Kebendaan (IoT) dilaksanakan dan dijangka siap menjelang suku pertama 2025.
“Baki projek taman agro masih menunggu kelulusan tapak. Saya memohon kerjasama daripada pihak berkuasa yang berkenaan untuk membantu dan mempercepat kelulusan penempatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Berkenaan pembangunan Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH), Rundi berkata Lembaga Perancangan Sarawak (SPA) meluluskan dua permohonan penempatan iaitu Semenggok di Kuching dan Tarat di Serian.
Pada masa yang sama, katanya, Jabatan Pertanian Sarawak sedang dalam proses merekrut peserta baharu untuk plot pertanian komersial.




