ARTIKEL

Taman permainan kanak-kanak baharu dengan lantai tayar kitar semula di Taman Awam BDC.

Taman Awam BDC Berwajah Baharu, MBKS Jadikan Kuching Selatan Bandar Mesra Semua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam tempoh kurang tiga bulan, Taman Awam BDC menjadi ruang rekreasi moden dan mesra keluarga hasil projek naik taraf bernilai RM475,000 oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS). Projek ini menjadikan Kuching Selatan sebagai bandar untuk semua lapisan masyarakat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, projek tersebut menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha menjadikan Kuching Selatan sebagai bandar mesra kanak-kanak dan warga emas.

“Biasanya apabila kawasan dibersihkan, ia menyebabkan sedikit kesulitan kepada penduduk. Namun setelah sebulan atau dua, hasilnya boleh kita lihat dan pengorbanan kecil itu berbaloi,” katanya semasa lawatan tapak di Taman Awam BDC di sini, hari ini.

Tambah beliau, sokongan daripada kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat dihargai.

“Ini adalah satu bentuk kerjasama dan kami berharap sokongan serta peruntukan akan diteruskan agar lebih banyak projek dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Menjelas lanjut, Taman Awam BDC yang dinaik taraf kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam.

Wee merakam kenangan di papan tanda baharu Taman Awam BDC.

“Ini termasuk laluan pejalan kaki baharu, wakaf, pintu masuk yang lebih mesra pengunjung dan tempat duduk yang dicat semula. Selain itu, taman permainan kanak-kanak dan peralatan senaman untuk warga emas turut disediakan, menjadikan taman ini lebih mesra keluarga dan mudah diakses,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wee berkata, lantai taman permainan kanak-kanak diperbuat daripada tayar kitar semula keluaran Sarawak.

“Bahan lestari bukan sahaja selamat digunakan tetapi juga tahan lama. Lantai itu dijangka bertahan antara lima hingga lapan tahun sebelum memerlukan penyelenggaraan,” kongsinya.

Beliau berkata, projek berkenaan selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Usaha ini juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Iklim),” katanya.

Tegasnya, beliau menyeru orang ramai supaya memainkan peranan menjaga kemudahan awam daripada perbuatan vandalisme.

“Vandalisme merisaukan kami kerana wang awam digunakan untuk menyelenggara kemudahan ini. Marilah kita bertanggungjawab bersama. Jika anda nampak sesiapa merosakkan harta awam, laporkan kepada kami melalui aplikasi mudah alih atau terus kepada ahli majlis,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wee memaklumkan MBKS kini memberi tumpuan kepada penyempurnaan fasa terakhir projek di Taman Sahabat menjelang Tahun Baharu Cina, diikuti dengan penaiktarafan Taman Hui Sing dan Taman MBKS sendiri.

Beliau mengulangi matlamat MBKS untuk mewujudkan bandar yang seimbang antara kemajuan dan kelestarian.

“Saya berharap agar penduduk terus menyokong inisiatif majlis. Marilah kita jadikan Kuching Selatan lebih bersih, hijau dan sihat untuk generasi kini dan akan datang,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU