Taman Negara Maludam lubuk khazanah alam

MALUDAM: Dianggarkan sebanyak 420 flora dan fauna yang pelbagai boleh dijumpai di Taman Negara Maludam yang berkeluasan 53,568 hektar dengan sempadan sepanjang 105 kilometer.

Taman Negara Maludam terletak di antara Bahagian Sri Aman dan Betong diwartakan pada 31 Mei 2000 merupakan taman negara yang terdekat dengan Jambatan Batang Lupar.

Malah, ramai yang menganggap pembinaan jambatan tersebut akan membuka potensi Taman Negara jenis hutan paya gambut itu.

Pegawai Menguasa Daerah Kecil Maludam Noraini Aden ketika ditemui semalam mengakui cukup teruja dengan inisiatif Kerajaan Sarawak itu (membina Jambatan Batang Lupar) yang akan memberi banyak manfaat kepada kawasan serta penduduk pesisir secara keseluruhannya.

LAWATAN pihak Pejabat Daerah Saratok ke Taman Negara Maludam. Turut kelihatan Noraini (tengah).

“Saya berharap projek mega itu berjalan dengan lancar,” katanya kepada Suara Sarawak semalam. Menurut Noraini, taman negara tersebut menjadi habitat utama monyet Belanda, lotong merah, beruk dan kera. “Jika ditanya apa yang ada di situ? Ia menyimpan pelbagai kekayaan alam yang harus dipelihara bersama.

“Dengan 133 spesies pokok, 50 spesies mamalia, 11 spesies reptilia, enam spesies amfibia, 192 spesies burung dan 28 spesies ikan, Taman Negara Maludam boleh disifatkan sebagai lubuk khazanah alam yang cukup berharga yang patut dipelihara agar dapat ditatap oleh generasi akan datang.

“Mengapa mesti datang ke Taman Negara Maludam? Jawapannya agar kita dapat melihat sendiri kecantikan alam semula jadi, flora dan fauna yang jarang ditemui sesuai dengan fungsi lainnya sebagai kawasan tadahan hujan dan tanah gambut yang masih terpelihara,” katanya.

Di taman negara tersebut, orang ramai boleh melakukan banyak aktiviti rekreasi antaranya melihat 192 spesies burung, menyelusuri sungai, menghayati keindahan alam dan fotografi.

Jelasnya, kerajaan mempunyai rancangan membangunkan kawasan tersebut demi mengekalkan ekosistemnya dan menarik kedatangan pelancong khususnya melalui Projek Pengurusan Lestari Tanah Gambut di Malaysia.

“Projek ini memfokuskan kepada pemeliharaan serta pemuliharaan flora dan fauna di kawasan taman negara. “Malah ia amat menitikberatkan aktiviti yang dapat dilaksanakan demi komuniti setempat bagi membantu meningkatkan sosioekonomi,” ujarnya.

Jelasnya, ia selaras dengan tujuan asal mewujudkan Taman Negara Maludam iaitu melindungi habitat Sarawak Langur atau hutan paya gambut. Tambah Noraini, Taman Negara Maludam bermanfaat kepada penduduk setempat khususnya membantu merancak dan meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat dari segi pelancongan.

Antaranya peluang kepada pengusaha bot pelancong, inap desa dan peniaga kecil, yang aktif mempromosikan produk tempatan masyarakat setempat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak pihak pengurusan berhadapan beberapa cabaran dalam menjaga taman negara yang yang pernah dibalak sekitar 1970-an. “Misalnya akses masuk ke taman negara yang mudah dan pelbagai termasuk melalui jalan ladang sawit dan sungai.

“Selain itu, kebergantungan penduduk tempatan terhadap hasil hutan dalam taman negara masih penting. “Cabaran lain berkait dengan bentuk muka bumi serta bilangan kakitangan, aset dan kemudahan asas Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC),” jelasnya.

Suara Sarawak