BINTANGOR: Taman Rekreasi Bintangor bakal berubah wajah apabila projek menaik taraf kemudahan awam bernilai RM4 juta dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tempoh pelaksanaan projek pertama di bawah RADDA itu dijangka mengambil masa selama 10 bulan.
“Yang pastinya, pihak majlis akan memantau perkembangan kerja dari semasa ke semasa bagi memastikan kontraktor menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan,” katanya pada majlis penyerahan projek itu, semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan kawasan taman rekreasi berkenaan buat sementara waktu demi keselamatan, sebaliknya menggunakan kemudahan yang terdapat di kompleks berhampiran.
Menurutnya, antara komponen utama projek termasuk kerja pengubahsuaian tandas awam, rumah kelab serta laluan trek joging di dalam kawasan taman rekreasi berkenaan.
“Selain itu, kerja naik taraf turut melibatkan pembaikan jambatan kecil termasuk jambatan mini berwarna merah yang terdapat di dalam taman tersebut.
“Projek ini juga merangkumi pembinaan sebuah pentas berbentuk arena bagi tujuan aktiviti sukan dan senaman, lengkap dengan bumbung sebagai perlindungan kepada pengguna,” ujarnya.
Beliau berkata, kemudahan taman permainan kanak-kanak turut disenaraikan dalam skop projek bagi memastikan taman rekreasi tersebut mesra keluarga dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Kuong Hiing menambah, sekiranya terdapat lebihan peruntukan daripada kos projek, pihaknya berharap dapat menambah komponen lain yang perlu dan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya di Bintangor.-TVS

