ARTIKEL

Julaihi (kiri) dan Hamzah (dua kiri) merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) Samarindah, hari ini. Foto Ramidi Subari

Taman Samarindah bakal nikmati bekalan air lebih stabil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Penduduk Taman Samarindah dan kawasan sekitarnya bakal menikmati bekalan air yang lebih stabil menerusi projek pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) bernilai RM30.4 juta yang dijangka siap pada Mei 2027.

Projek itu melibatkan pembinaan dua HLT, masing-masing berkapasiti 4.5 juta liter, selain pemasangan saluran paip utama sepanjang 4.5 kilometer bagi meningkatkan kapasiti simpanan air terawat, menstabilkan tekanan bekalan air serta memperkukuh sistem agihan sedia ada.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata beliau berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Sarawak Water.

Beliau berkata, kementeriannya akan memastikan kedua-dua kontraktor yang dilantik melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan bagi menjamin kelancaran projek.

“Pendekatan itu penting kerana kita mahu bekalan air di kawasan Taman Samarindah dan sekitarnya dapat dipertingkatkan seperti yang diharapkan penduduk.

“Saya difahamkan kawasan ini mempunyai lebih 5,000 rumah. Oleh itu, kita memerlukan tangki yang mampu membekalkan air mencukupi kepada penduduk,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan HLT Samarindah, hari ini.

Julaihi menyempurnakan simbolik pecah tanah projek pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) Samarindah. Foto Ramidi Subari

Mengulas lanjut, beliau berkata bekalan air ke Taman Samarindah ketika ini disalurkan dari Loji Rawatan Air Batu Kitang yang merupakan loji rawatan air utama bagi bandar raya Kuching dan Bahagian Samarahan.

Menurutnya, loji berkenaan kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 868 juta liter sehari (MLD) dan kerja menaik taraf kapasiti kepada 968 juta liter sehari sedang berjalan.

“Kita berharap apabila projek naik taraf ini siap, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Loji Rawatan Air Batu Kitang bukan sahaja membekalkan air kepada bandar raya Kuching, malah turut menampung keperluan bekalan air di Bahagian Samarahan sehingga ke Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Simunjan termasuk institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta kawasan perumahan di sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata Taman Samarindah merupakan antara kawasan perumahan terbesar di Sarawak dengan lebih 5,000 rumah serta jumlah penduduk yang terus meningkat setiap tahun.

“Penduduk di sini terus bertambah dan kini dianggarkan melebihi 20,000 orang melibatkan lebih 5,000 keluarga di kawasan Samarindah,” katanya.

Beliau berkata isu bekalan air merupakan antara cabaran utama yang dihadapi penduduk selain masalah banjir yang sebelum ini telah ditangani menerusi penambahbaikan sistem perparitan oleh Kerajaan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan supaya penduduk dapat menikmati kemudahan tersebut secepat mungkin.

“Saya berharap kontraktor yang dilantik melaksanakan projek ini dengan penuh komitmen dan mengikut jadual yang ditetapkan walaupun berdepan cabaran cuaca.

“Keperluan penduduk terhadap bekalan air yang lebih baik amat mendesak. Justeru, prestasi pelaksanaan projek ini perlu diberi perhatian serius. Sekiranya terdapat pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan projek ini diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU