Taman Sebangkoi dinaik taraf

SARIKEI: Taman Sebangkoi terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sarikei merupakan lokasi peranginan cukup popular kepada orang ramai terutama pada musim cuti persekolahan dan hujung minggu.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Sarawak mengambil langkah positif menaik tarafkan taman berkenaan agar terus menjadi tumpuan pengunjung.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha yang akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) itu meliputi kerja naik taraf kemudahan untuk kegunaan orang awam.

“Kita memperuntukan sebanyak RM508,800 bagi tujuan tersebut dan saya berharap usaha ini memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya pada majlis perasmian ‘Sebangkoi Mountain Bike Challenge 2019.’

Huang memberi jaminan, kerajaan akan terus mempromosikan Taman Sebangkoi ini sebagai satu destinasi tumpuan orang ramai termasuk menjadi persinggahan utama pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya Pan Borneo.

Huang bersama pemenang cabaran basikal lasak Sebangkoi 2019

Pada masa yang sama katanya, beliau mempunyai perancangan untuk menjadikan Taman Sebangkoi sebagai lokasi penganjuran acara lasak termasuk kayuhan basikal bagi menarik penyertaan peminat sukan berkenaan.

“Pelbagai acara yang diadakan di sini mampu mempopularkan Taman Sebangkoi kepada pengunjung luar. Saya amat berharap usaha murni ini mendapat sokongan padu semua pihak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengunjung bersama menjaga kebersihan bagi mengekalkan keindahan taman tersebut.

Ujarnya, walaupun taman sentiasa dipantau oleh pihak berwajib namun orang ramai juga boleh membantu menjaga kemudahan dan kebersihan di lokasi itu dengan baik.

“Keindahan alam semula jadi kawasan ini menjadikannya sebagai tempat paling sesuai untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu,” katanya.

Menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

 

Selain terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, Taman Sebangkoi juga sesuai untuk lokasi sukan lasak.