ARTIKEL

Abdul Karim melancarkan majlis prapelancaran Projek Taman Tasik Desa Ilmu.

Taman Tasik Desa Ilmu dinaik taraf, siap 17 November

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Samarahan bakal mempunyai satu lagi mercu tanda baharu apabila Taman Tasik Desa Ilmu akan dinaik taraf mengikut konsep perahu tambang.

Cadangan reka bentuk ini mencerminkan semangat komuniti, rentak kehidupan seharian, dan identiti budaya Samarahan di bawah Program Infrastruktur Sosial dan Reka Bentuk Alam Sekitar (IRSDA) untuk memenuhi keperluan rekreasi penduduk setempat.

BERCAKAP… Abdul Karim menjawab soalan daripada media.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembinaan taman rekreasi dengan anggaran kos sebanyak RM6.8 juta ini dijangka akan disiapkan pada 17 November ini.

“Kota Samarahan kini berkembang pesat dan menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi serta institusi perguruan, menyaksikan pertumbuhan taman perumahan umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Pelan projek Taman Tasik Desa Ilmu.

Susulan itu, kami telah mengenal pasti tasik ini untuk dibangunkan menjadi kawasan rekreasi bagi masyarakat setempat beriadah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra-Pelancaran Projek Taman Tasik Desa Ilmu di sini, semalam.

Menurut Abdul Karim, tasik tersebut telah lama menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk melakukan aktiviti riadah pada waktu petang.

“Apabila taman ini siap sepenuhnya, ia akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan kekeluargaan dan komuniti,” ujarnya.

Beliau menambah lagi, projek ini adalah selaras dengan visi menjadikan Kota Samarahan sebagai bandar satelit yang ceria serta memenuhi aspirasi penduduk untuk memiliki ruang rekreasi berhampiran kawasan kediaman.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata kawasan tersebut bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, tandas awam, laluan refleksologi, trek jogging, dan skating.

Untuk rekod, projek yang telah dimulakan pada 18 November lalu ini akan mengangkat tema perahu tambang dengan bentuk seni bina gerakan kayuhan; reka bentuk bumbung seperti Kajang Surong.

Tarikan utama nanti adalah Pavilon Budaya.

Ciri utama tapak pavilion ini akan terapung secara metafora di tepi tasik dan akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara budaya, pasar tempatan, pameran seni, dan perhimpunan komuniti, sekali gus menjadi mercu tanda penting bagi penduduk tempatan dan pelancong.

Konsep ini meraikan warisan tempatan melalui pendekatan seni bina yang bermakna, inklusif, dan ikonik, yang bukan sahaja memperkaya kehidupan komuniti sekeliling, tetapi juga menarik lebih ramai pengunjung ke Taman Tasik Desa Ilmu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU