MUKAH: Sebanyak tiga feri akan beroperasi di pengkalan feri Kuala Igan, Muara Lassa dan Batang Paloh bermula 5 hingga 14 April ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah menerusi notis pemberitahuan berkata, penambahan feri ini adalah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, masa operasi turut dilanjutkan. Bagi Feri 1 Kuala Igan, ia akan beroperasi bermula 4 pagi hingga 12 tengah malam.
Manakala, Feri 2 dan 3 akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Bagi Feri 1, 2 dan 3 di Muara Lassa serta Batang Paloh, waktu operasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” kata notis pemberitahuan tersebut, hari ini.
Ujarnya, susulan penambahan feri dan pelanjutan masa operasi perkhidmatan ini, ia akan mengurangkan kesesakan kenderaan, meningkatkan keselamatan, memendekkan masa menunggu serta mensejahterakan pengguna feri.
Sehubungan itu, pengguna feri juga dinasihatkan untuk bersedia serta merancang masa perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang gangguan serta kesulitan di akhir waktu operasi feri.
“Di samping itu, pengguna dan penumpang hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) feri dan mengikut arahan petugas feri demi keselamatan semua.
“Pada masa sama, pengguna feri dinasihatkan untuk bersabar dan tabah serta menjaga kebersihan kawasan feri,” tambahnya.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Pejabat JKR Mukah di talian 084-872180 atau 084-971040, Feri Kuala Igan (016-8692989) dan Feri Batang Paloh serta Feri Muara Lassa (0111-0859795).






