KUALA LUMPUR: Menerusi video terbaharu di Facebook, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan menyediakan penerbangan tengah malam pada kadar tambang tetap ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Tahun Baharu Cina.
Loke berkata, inisiatif yang diambil syarikat penerbangan tempatan itu menjadikan ia lebih mampu ditampung untuk rakyat Sabah dan Sarawak pulang ke kampung meraikan Tahun Baharu Cina dengan tambang serendah RM298.
Pada 7 Februari lepas, Loke memberikan kemeja-T merah percuma kepada penumpang penerbangan AK9070 ke Sibu, Sarawak, sebagai tanda penghargaan atas usaha dibuat AirAsia itu.
Pada 15 Disember 2023, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju memberi subsidi bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 untuk perjalanan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, selama tiga hari sebelum musim perayaan utama termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.

