Tanah runtuh menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Lundu, Sematan dan Telok Melano

KUCHING: Seramai 9,000 pengguna di Bau-Lundu, Sematan dan Telok Melano terputus bekalan elektrik berikutan kejadian tanah runtuh di Jalan Utama Bau-Lundu.
Sarawak Energy Berhad berkata, dua talian 33 kV terputus setelah kejadian tanah runtuh merosakkan tiang elektrik dan menyebabkan kerosakan pada kabel bawah tanah akibat hakisan tanah.
“Talian pertama dilaporkan putus pada 11.30 malam Rabu, Sarawak Energy segera menghantar pasukan operasi untuk menilai kesan tanah runtuh pada tiang yang tumbang. Walaubagaimanapun, usaha untuk membaik pulih tidak dapat dilaksanakan kerana tanah runtuh dan tidak dapat dimasuki kerana keadaan banjir.
“Talian kedua pula terputus sekitar 10.45 pagi Jumaat selepas satu lagi kejadian tanah runtuh telah merosakkan kabel bawah tanah. Kerja pembaikan hanya akan dijalankan setelah tapak dibersihkan dan selamat untuk kerja pembaikan,” katanya.
Sementara, Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy, Choo Min Chong berkata, pasukan Sarawak Energy berusaha untuk membaiki tiang rosak pada talian pertama dengan pembaikan dijangka siap pada 10.00 malam ini.
“Pergerakan tanah dan cuaca buruk berterusan melambatkan kemajuan pasukan dalam kerja pembaikan yang cepat dan selamat.
“Kami mengemas kini dengan pelanggan kami mengenai situasi ini dan amat menghargai pemahaman mereka. Kami memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik untuk memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin,” jelas Min Chong.
Untuk maklumat lebih lanjut dan kemas kini perkhidmatan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 Sarawak Energy di 1300-88-3111 atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com.
Pelanggan juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih Sarawak Energy yang terdapat di Google Play dan Apple App Store untuk mendapatkan bantuan.

Suara Sarawak